Bolehkah pembalut, krim, atau minyak membantu mencegah ulser tekanan (kudis katil)?

Mesej utama

Ketidakpastian bukti yang kami kenal pasti bermakna bahawa kita tidak tahu sama ada pembalut atau ejen topikal (termasuk pelbagai krim, losyen, dan minyak) menyebabkan sebarang perbezaan terhadap jumlah ulser tekanan yang berlaku pada orang yang berisiko.

Apakah ulser tekanan?

Ulser tekanan, juga dikenali sebagai kecederaan tekanan, kudis katil, atau kudis tekanan, berlaku apabila kulit atau tisu di bawahnya cedera disebabkan oleh tekanan yang berpanjangan di bahagian badan yang bertulang. Ia adalah perkara biasa dalam kalangan orang tua dan individu yang kurang bergerak. Ia agak mencabar dan mahal untuk dirawat.

Bagaimanakah ulser tekanan dapat dicegah?

Pilihan pencegahan untuk ulser tekanan termasuklah: bergerak dan mengubah kedudukan semasa baring atau duduk; menggunakan jenis permukaan yang betul untuk baring dan duduk; dan mempunyai pengambilan makanan dan cecair yang berkhasiat. Kini, pelbagai pembalut dan krim juga digunakan untuk mencegah berlakunya ulser tekanan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pembalut atau krim tertentu dapat mencegah ulser tekanan dengan berkesan pada individu berisiko. Selain itu, kami bermatlamat untuk menilai faktor-faktor seperti kesakitan, kualiti hidup, dan kos rawatan apabila pembalut dan krim ini digunakan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mengemas kini ulasan dari 2018, dan kini memasukkan 51 kajian. Kajian ini memasukkan 13,303 orang yang berisiko. Kajian menguji produk seperti asid lemak dan krim, dan pembalut yang diperbuat daripada bahan yang berbeza.

Apakah yang kami temui?

Kami tidak pasti sama ada pembalut atau krim menyebabkan perbezaan dalam pencegahan ulser tekanan, atau dalam pencegahan kesan yang tidak diingini, disebabkan oleh kaedah penyelidikan yang tidak mencukupi yang digunakan dalam kajian yang kami semak. Akibatnya, keyakinan kami terhadap keputusan ini masih terhad.

Keputusan utama

Kami menjalankan sejumlah 20 perbandingan berbeza yang berkaitan dengan pembalut dan krim. Ini bermakna kami melihat bagaimana pelbagai jenis pembalut dan krim dilakukan dalam pelbagai situasi untuk mencegah ulser tekanan. Terdapat sejumlah ketidakpastian yang penting dalam bukti dalam kajian yang kami masukkan. Oleh itu, kami tidak tahu sama ada pembalut atau krim yang dimasukkan dalam ulasan ini mempunyai kesan terhadap pencegahan ulser tekanan baharu atau dalam pencegahan kesan yang tidak diingini daripada berlaku. Terdapat bukti yang terhad mengenai kedua-dua kos rawatan dan sama ada orang dalam kajian mengalami sebarang kesakitan. Hanya satu kajian melaporkan mengenai kualiti hidup peserta.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin terhadap bukti atas tiga sebab utama. Pertama, mungkin orang dalam kajian mengetahui rawatan yang mereka terima. Kedua, keputusan adalah sangat tidak konsisten merentasi kajian berbeza. Akhir sekali, beberapa kajian adalah kecil.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami menjalankan carian kami untuk kajian sehingga November 2022, memastikan ulasan ini memasukkan penyelidikan terbaharu yang tersedia.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information