Soalan ulasan
Kami menyemak bukti tentang kesan terapi senaman bagi orang dewasa yang mengalami sakit bahagian bawah belakang yang berlangsung selama enam minggu atau kurang.
Latar belakang
Sakit bahagian bawah belakang adalah perkara biasa dan melumpuhkan, menyebabkan beban yang ketara kepada individu yang terjejas dan kepada masyarakat. Sakit bahagian bawah belakang sering mengakibatkan penurunan kualiti hidup, masa yang hilang dari kerja, dan perbelanjaan perubatan yang besar.
Terapi senaman terdiri daripada aktiviti fizikal yang dirancang atau berstruktur yang bertujuan untuk meningkatkan atau mengekalkan satu atau lebih aspek kecergasan fizikal. Pelbagai profesional penjagaan kesihatan menyediakan intervensi ini, yang sering disyorkan untuk mereka yang mengalami sakit bawah belakang. Terapi senaman bertujuan untuk meningkatkan kecergasan fizikal, fleksibiliti, kestabilan, dan koordinasi. Ia juga mungkin memberi tumpuan kepada latihan otot tertentu. Walau bagaimanapun, keberkesanan terapi senaman untuk orang yang mengalami sakit bahagian bawah belakang adalah tidak jelas.
Untuk semakan ini, kami menyertakan episod sakit bahagian bawah belakang yang tidak disebabkan oleh keadaan asas yang diketahui, seperti jangkitan, kanser, patah tulang atau kehamilan. Orang yang mengambil bahagian dalam kajian juga mungkin mengalami sakit di bahagian punggung dan kaki, tetapi kesakitan itu harus terutamanya di bahagian bawah belakang. Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane pertama yang diterbitkan pada 2005.
Tarikh Carian
Kami mencari bukti sehingga 18 November 2021.
Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan 23 kajian yang melibatkan seramai 2674 orang dan memberikan maklumat berangka untuk 2637 orang. Sepuluh kajian adalah baru dan 13 telah dimasukkan dalam ulasan kami sebelum ini. Kajian telah dijalankan di Eropah, rantau Asia-Pasifik, dan Amerika Utara. Dalam kebanyakan kajian, populasi adalah pertengahan umur dan termasuk campuran lelaki dan wanita. Kami amat berminat dengan kesan jangka pendek terapi senaman berbanding rawatan palsu/plasebo (rawatan dummy) dan berbanding tanpa rawatan. Untuk ulasan ini, 'jangka pendek' bermaksud sekitar enam minggu selepas permulaan rawatan. Dua belas daripada 23 kajian menerima pembiayaan daripada organisasi kerajaan atau bukan untung. Sebelas kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan.
Keputusan utama
Terapi senaman mungkin tidak lebih baik daripada rawatan palsu/plasebo untuk melegakan kesakitan dalam jangka pendek. Secara purata, intensiti kesakitan adalah 0.8 mata lebih rendah pada skala 100 mata (skor lebih rendah bermakna kurang kesakitan) dalam kumpulan senaman. Dalam erti kata lain, kumpulan terapi senaman mengalami kesakitan 1% kurang daripada kumpulan rawatan palsu/plasebo. Keputusan ini sangat tidak pasti dan harus ditafsirkan dengan berhati-hati, kerana ia datang dari satu kajian dengan hanya 299 peserta.
Terapi senaman mungkin tidak lebih baik daripada rawatan palsu/plasebo untuk meningkatkan status fungsi dalam jangka pendek. Secara purata, orang dalam kumpulan senaman memperolehi 2 mata lebih pada skala kecacatan 100 mata (skor yang lebih rendah bermakna kurang upaya). Dalam erti kata lain, kumpulan terapi senaman mempunyai status fungsian 2% lebih teruk daripada kumpulan rawatan palsu/plasebo. Keputusan ini sangat tidak pasti dan harus ditafsirkan dengan berhati-hati, kerana ia datang dari satu kajian dengan hanya 299 peserta.
Terapi senaman mungkin tidak lebih baik daripada tiada rawatan untuk melegakan kesakitan dan meningkatkan fungsi dalam jangka pendek. Penemuan ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati kerana ia berdasarkan dua kajian kecil dengan hanya 157 peserta pada keseluruhannya.
Beberapa kajian mengukur kesan yang tidak diingini, dan tidak ada yang melaporkan sebarang kesan yang tidak diingini yang berkaitan dengan terapi senaman. Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang keselamatan terapi senaman pada orang yang mengalami sakit bawah belakang.
Batasan bukti
Kami mempunyai hanya sedikit keyakinan terhadap bukti kerana kajian tidak dibuat dengan cara yang elok dan hanya melibatkan bilangan perserta yang kecil.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my