Pemindahan membran amniotik untuk rawatan luka melecur okular

Bagaimana luka melecur okular merosakkan mata

Kornea ialah tingkap lutsinar mata yang membantu memfokuskan cahaya untuk membentuk imej dunia luar. Untuk kornea kekal lutsinar, ia mesti mempunyai lapisan permukaan epitelium yang sihat, filem air mata yang stabil, dan ketiadaan saluran darah. Epitelium ialah lapisan selular lembap yang meliputi kornea, bahagian putih mata, dan bahagian dalam kelopak mata. Epitelium yang menutupi kornea adalah berbeza daripada epitelium konjunktiva. Ia dikekalkan dalam keadaan ini oleh populasi sel stem khusus yang terdapat di pinggir kornea (limbus). Dalam mata normal, sel epitelium kornea berhijrah perlahan-lahan dari limbus ke arah pusat kornea.

Melecur pada mata pada mulanya merosakkan lapisan permukaan epitelium, tetapi ia juga boleh merosakkan struktur mata yang dalam dan kelopak mata. Ciri luka melecur akut ialah kerosakan epitelium. Kerosakan ini boleh pulih sepenuhnya selepas luka melecur kecil. Walau bagaimanapun, jika luka melecur merosakkan sel stem di segmen limbus, epitelium normal yang berpusat di kawasan itu mungkin tidak dapat pulih. Kornea kemudiannya dilitupi oleh sejenis epitelium yang berbeza dari segi fungsi yang diperoleh daripada konjunktiva periferi, yang mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan, dan kornea boleh menjadi kabur dan bervaskular. Sekiranya tiada sebarang penutup epitelium, risiko tambahan ialah tisu yang lebih dalam pada kornea yang terdedah (stroma) mungkin menjadi semakin nipis dan akhirnya berlubang. Lebih banyak kerosakan pada limbus (diukur dalam jam), lebih teruk hasilnya. Permukaan kornea yang tidak normal, serta kabur dan kerosakan pada struktur dalam mata (iris, kanta, retina, saraf optik), semuanya boleh menyebabkan kehilangan penglihatan.

Rawatan untuk luka melecur okular

Melecur pada permukaan mata adalah kecemasan, dan mata mesti dibasuh segera dengan air atau salin untuk menghilangkan sebarang agen kimia. Jumlah kerosakan pada epitelium (kerosakan epitelium) dan saluran darah di pinggir kornea diukur, untuk menganggarkan risiko komplikasi masa depan. Mata kemudian dirawat dengan ubat-ubatan untuk mengurangkan risiko komplikasi selanjutnya dan membantu lapisan epitelium pulih. Sesetengah doktor juga menggunakan membran tisu amniotik yang diletakkan di atas permukaan mata. Membran amniotik ialah kantung yang mengelilingi bayi semasa ia berkembang di dalam ibunya.

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin tahu sama ada menggunakan membran amniotik dengan ubat-ubatan adalah lebih baik daripada hanya ubat-ubatan.

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian di mana membran amniotik digunakan untuk merawat mata yang telah melecur. Kami kemudian mencari kajian yang membandingkan mata yang dirawat dengan ubat-ubatan dan tampalan membran amniotik dengan mata yang dirawat hanya menggunakan ubat-ubatan. Kami mencari kajian rawak terkawal, di mana rawatan yang diterima oleh seseorang ditentukan secara rawak kerana kajian seperti ini memberikan bukti rawatan yang paling boleh dipercayai. Kami menilai rawatan melecur sederhana dan melecur teruk secara berasingan, kerana ia mempunyai hasil yang berbeza. Kami mengukur sama ada rawatan itu berkesan dengan membandingkan perkadaran mata di mana epitelium pada kornea gagal pulih 21 hari selepas kecederaan, fungsi visual pada akhir rawatan, kehadiran saluran darah baru yang tidak normal pada kornea, parut antara kornea dan kelopak mata, masa yang diambil untuk epitelium sembuh dan kejadian buruk dalam kumpulan intervensi dan kawalan. Kami menilai risiko bias dalam penemuan kajian rawak terkawal merentasi domain yang telah ditetapkan. Kami menggunakan kriteria Penggredan Pengesyoran Penilaian, Pembangunan dan Penilaian (GRADE) untuk menilai kepastian bukti termasuk risiko bias, ketidaktepatan, tidak konsisten, tidak langsung, dan berat sebelah dalam penerbitan.

Apa yang kami temui

Kami menemui dua kajian rawak terkawal yang membandingkan kesan ubat-ubatan dengan penambahan tampalan membran amniotik yang dimasukkan dalam tempoh tujuh hari selepas kecederaan dengan ubat-ubatan sahaja. Satu kajian mencadangkan bahawa rawatan dengan amnion mungkin bermanfaat dalam luka melecur sederhana, tetapi kami menemui kepastian bukti adalah rendah disebabkan oleh risiko bias yang tinggi dan ketidaktepatan yang serius. Untuk luka melecur yang teruk, tiada perbezaan penting antara mata yang menerima membran amniotik dan mata yang tidak.

Kesimpulan

Terdapat hanya bukti yang tidak pasti daripada kajian rawak terkawal tentang perbezaan penting dalam penyembuhan antara mata yang dirawat dengan ubat-ubatan dan membran amniotik dalam masa tujuh hari selepas okular melecur dan mata yang dirawat hanya dengan ubat-ubatan. Penyelidikan lanjut diperlukan untuk mengenalpasti rawatan terbaik untuk luka melecur akut pada mata untuk mengurangkan risiko akibat yang berpotensi memusnahkan dan kehilangan penglihatan.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Carian terakhir dijalankan pada September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information