Rangsangan saraf tunjang untuk sakit kanser

Penghidap kanser sering mengalami kesakitan. Sakit kanser atau sakit berkaitan kanser adalah salah satu faktor yang paling teruk bagi pesakit ini. Kesakitan jenis ini akan menjadi lebih buruk apabila kanser merebak. Walaupun terdapat analgesik (penghilang rasa sakit) dan teknik yang lebih baik, sakit kanser masih menjadi masalah bagi ramai orang.

Secara tradisinya, sakit kanser dikawal oleh ubat. Apabila ubat-ubatan ini tidak berkesan, cara lain untuk mengurangkan kesakitan boleh digunakan, seperti neuromodulasi (stimulasi elektrik pada saraf). Rangsangan saraf tunjang adalah kaedah neuromodulasi yang paling biasa.

Rangsangan saraf tunjang (SCS) melibatkan meletakkan elektrod pada saraf tunjang untuk mengawal kesakitan. Elektrod menyampaikan impuls yang boleh mengurangkan kesakitan. Teknik ini boleh diterbalikkan dan invasif minimum. SCS nampaknya mempunyai sedikit kesan sampingan, contohnya keletihan, berbanding ubat yang digunakan untuk melegakan kesakitan. Teknik ini telah digunakan secara meluas dalam pesakit bukan kanser, namun peranan SCS untuk sakit kanser masih tidak jelas.

Dalam ulasan asal, kami berhasrat untuk menilai sejauh mana SCS berfungsi untuk sakit kanser, berbanding dengan penjagaan standard (cth ubat). Kami juga merancang untuk melihat kemudaratan dan kesan sampingan rawatan. Untuk mengemas kini ulasan ini, pada Oktober 2014 kami mencari kajian klinikal yang menggunakan SCS untuk merawat sakit kanser. Kami mendapati tiada kajian rawak terkawal dan empat kajian siri kes sebelum dan selepas (sebanyak 92 peserta dengan kanser). Semua kajian adalah kecil dan berkualiti rendah.

Peserta SCS menggunakan lebih sedikit ubat berbanding dengan kumpulan rawatan standard. Kesan sampingan utama ialah jangkitan dan kesakitan di tapak elektrod, kebocoran cecair serebrospinal (CSF), elektrod tercabut, dan kegagalan sistem. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat mengetahui kesan sampingan yang mana lebih kerap berlaku pada pesakit kanser berbanding pesakit bukan kanser.

Tiada bukti kualiti yang cukup baik untuk mengetahui sama ada SCS lebih baik daripada ubat untuk melegakan kesakitan kanser. Lebih banyak kajian membandingkan SCS dengan cara lain untuk melegakan kesakitan diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information