Soalan ulasan
Kami mengkaji bukti mengenai kesan suplemen magnesium terhadap kekejangan otot, dan merangkumi kajian seluas mungkin. Ini bermaksud kami merangkumi kajian mengenai sesiapa saja yang mengalami kekejangan otot, tanpa mengira mengapa mereka menderita akibat kekejangan otot tersebut. Ini juga bermaksud melibatkan kajian di mana magnesium diberikan dengan apa juga cara yang tersedia. Ini termasuk ditelan sebagai pil atau cairan, disuntik perlahan selama beberapa jam terus ke dalam darah ('infus intravena'), dan disuntik ke otot ('suntikan intramuskular'). Kami merangkumi kajian membandingkan magnesium dengan plasebo, membandingkan magnesium tanpa rawatan, dan membandingkan magnesium dengan rawatan kekejangan lain yang ada. Kami menemui sejumlah 11 kajian. Untuk menilai faedah, kami memeriksa kesan magnesium terhadap frekuensi kekejangan, sakit kekejangan, dan tempoh kekejangan, dan kami memeriksa jumlah peserta yang mengalami kadar kekejangan berkurang sebanyak 25% atau lebih. Untuk menilai potensi kesan buruk, kami meneliti seberapa kerap kejadian buruk besar dan kecil terhadap kesihatan pesakit berlaku.
Latar belakang
Kekejangan otot adalah perkara biasa dan boleh berlaku dalam pelbagai keadaan. Orang dewasa yang lebih tua dan wanita hamil biasanya mengadu kekejangan kaki semasa mereka berehat, atlet boleh mengalami kekejangan apabila mereka menolak had ketahanan mereka, dan sesetengah orang mengalami kekejangan otot sebagai tanda keadaan perubatan yang lain. Salah satu rawatan yang berpotensi yang sudah dipasarkan untuk mengelakkan kekejangan otot adalah supplemen magnesium. Magnesium adalah mineral biasa dalam diet kita dan suplemen tambahan oral mineral ini boleh didapati sama ada melalui Internet atau di kedai-kedai makanan kesihatan dan farmasi (biasanya dalam bentuk pil atau serbuk untuk dilarutkan di dalam air). Kami ingin menggabungkan kajian-kajian untuk mendapatkan anggaran kesan magnesium yang terbaik terhadap kekejangan. Kami juga ingin mengkaji kesan magnesium dalam pelbagai kategori penghidap kekejangan, sekiranya ia berfungsi dalam satu keadaan, dan bukan yang lain.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari semua kajian berkualiti serta yang diterbitkan untuk menilai keberkesanan magnesium dalam mengelakkan kekejangan otot dan mendapati lima kajian di kalangan orang dewasa yang lebih tua dan lima kajian di kalangan wanita hamil dan satu kajian di kalangan orang yang mengalami sirosis hati. Kajian pada orang dewasa yang lebih tua merangkumi 271 peserta (61.6 hingga 69.3 tahun) dan kajian pada wanita hamil merangkumi 408 peserta. Kajian tunggal pada orang dengan sirosis hati hanya mencatatkan 29 orang, tidak semuanya mengalami kekejangan. Tidak ada kajian mengenai orang yang mengalami kekejangan semasa bersenam. Magnesium dibandingkan dengan plasebo dalam sembilan dari 11 kajian, dan dibandingkan dengan kalsium, vitamin E, vitamin B₁ dan B₆, dan tanpa rawatan, dalam dua kajian wanita hamil. Kajian yang dilibatkan adalah antara 14 hingga 56 hari rawatan. Magnesium diberikan secara lisan dalam 10 dari 11 kajian, dan dengan infusi intravena empat jam selama lima hari berturut-turut dalam satu kajian. Pembiayaan untuk kajian yang termasuk adalah dari pengeluar tablet magnesium bagi dua kajian, sumber bebas dari tiga kajian, dan tidak dilaporkan dalam enam kajian.
Keputusan utama dan kepastian bukti
Hasil gabungan lima kajian yang nampaknya boleh dipercayai menunjukkan, dengan kepastian sederhana, bahawa magnesium tidak mungkin mengurangkan kekerapan atau keparahan kekejangan otot pada orang dewasa yang lebih tua. Sebaliknya, lima kajian pada wanita hamil mempunyai batasan penting terhadap kebolehpercayaan mereka (baik dalam reka bentuk kajian dan pelaporan hasil), tidak menunjukkan manfaat secara konsisten, dan tidak dapat digabungkan. Akibatnya, kami sangat tidak pasti sama ada wanita hamil yang mengalami kekejangan otot akan mendapat manfaat daripada magnesium. Kajian tunggal pada orang dengan sirosis hati melaporkan tidak ada perbezaan dalam frekuensi atau intensiti kekejangan tetapi kajian terlalu kecil untuk membuat kesimpulan.
Lebih banyak penyelidikan mengenai magnesium terhadap wanita hamil diperlukan. Perkara yang sama berlaku bagi mereka yang mengalami kekejangan yang berkaitan dengan keadaan perubatan, atau semasa bersenam. Walau bagaimanapun, penghidap kekejangan orang dewasa yang lebih tua nampaknya tidak akan mendapat manfaat daripada terapi ini. Kesan sampingan utama jarang berlaku dan peserta menarik diri dari kajian pada kadar yang sama apabila diberi magnesium atau plasebo. Walau bagaimanapun, kesan sampingan yang kecil, terutamanya cirit-birit (seperti yang diharapkan dari garam magnesium) dan loya, adalah biasa dan mempengaruhi kira-kira 11% (kawalan 10%) hingga 37% (kawalan 14%) peserta.
Ulasan adalah terkini sehingga September 2019.
Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (IMU). Dikemaskini oleh Gurmeet Albail Singh. Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my