Rawatan manakah yang berkesan untuk pengurusan sindrom sakit kompleks sekawasan dalam kalangan dewasa?

Mesej utama

Terdapat kekurangan kritikal bukti berkualiti tinggi bagi manfaat dan risiko kebanyakan rawatan untuk orang dewasa dengan sindrom sakit kompleks sekawasan (CRPS). Kajian lebih besar yang direka bentuk dengan baik dan ulasan berkualiti tinggi diperlukan untuk memberi bukti yang tepat manfaat dan risiko rawatan bagi orang dewasa dengan CRPS.

 

Apakah sindrom sakit kompleks sekawasan?

CRPS ialah keadaan sakit kronik yang melumpuhkan. Orang dengan CRPS mengalami sakit yang berterusan, biasanya di tangan atau kaki, yang tidak sepadan keterukannya dengan sebarang kecederaan sebenar. Ia sering melibatkan pelbagai gejala lain pada bahagian badan yang terlibat seperti bengkak, perubahan warna, kekakuan, kelemahan, dan perubahan pada kualiti kulit. 

 

Apa yang kami ingin tahu?

Pelbagai terapi diguna untuk merawat CRPS. Kesan terapi ini diringkaskan merentasi beberapa ulasan Cochrane dan bukan Cochrane. Matlamat kami adalah untuk menggabung maklumat daripada ulasan-ulasan ini ke dalam satu dokumen yang boleh diakses. Kami khususnya ingin tahu rawatan yang berkesan untuk mengurangkan sakit dan ketakupayaan dalam kalangan dewasa dengan CRPS. Kami juga ingin tahu sama ada rawatan-rawatan ini menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.

 

Apa yang kami buat?

Kami mencari ulasan Cochrane dan bukan Cochrane dalam literatur perubatan menggunakan pangkalan data dalam talian dari awal hingga Oktober 2011, dalam versi gambaran keseluruhan terdahulu dan antara Oktober 2011 dan Oktober 2022 dalam versi semasa. Kami sertakan ulasan yang menilai sebarang rawatan yang bertujuan untuk mengurangkan keamatan sakit dan ketakupayaan dalam kalangan dewasa dengan CRPS. Kami menilai kualiti ulasan yang disertakan dan meringkaskan keputusannya. Kami juga menilai keyakinan terhadap bukti yang disertakan dalam ulasan berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

 

Apa yang kami dapati?

Kami sertakan enam ulasan sistematik Cochrane dan 13 bukan Cochrane dalam versi terdahulu gambaran keseluruhan ini dan lima ulasan Cochrane dan 12 bukan Cochrane dalam versi semasa. Ulasan-ulasan ini termasuklah bukti berkaitan pelbagai jenis rawatan, termasuk ubat-ubatan, prosedur pembedahan, rehabilitasi dan terapi pelengkap dan alternatif. Bagi kebanyakan rawatan terdapat hanya sebilangan kecil kajian yang diterbitkan dan kualiti kajian-kajian tersebut adalah rendah. Bukti ulasan mencadangkan perkara berikut:

     • Berbanding plasebo (atau 'dummy'), bisphosphonates (sejenis ubat yang melambatkan kehilangan tulang) boleh mengurangkan keamatan sakit sejurus selepas rawatan, tetapi ia mungkin dikaitkan dengan beberapa kesan sampingan.

   • Berbanding plasebo (atau palsu), menyekat cabang sistem saraf simpatetik dengan anestetik mungkin tidak mengurangkan keamatan sakit.

   • Mungkin tiada sebarang perbezaan dalam kesan mengurangkan sakit oleh krim topikal yang dipanggil dimethyl sulfoxide (DMSO) dan suplemen asid amino yang dipanggil N-acetyl cysteine, tetapi adalah tidak jelas sama ada rawatan tersebut berkesan sama sekali.

   • Satu jenis blok saraf, dipanggil blok pleksus brakial, boleh mengurangkan keamatan sakit lebih daripada jenis blok lain, dipanggil blok bupivacaine ganglion stelat.

Bagi kebanyakan ubat yang lazim, pembedahan, rehabilitasi dan terapi pelengkap dan alternatif yang biasa diguna untuk CRPS, kami mendapati hanya bukti berkualiti sangat rendah atau tiada bukti langsung. Akibatnya, kami tidak pasti kesannya terhadap sakit dan ketakupayaan dalam CRPS.  
 

Apakah batasan bukti?

Semua ulasan bukan Cochrane yang disertakan telah dijalankan dengan cara yang menjejaskan kebolehpercayaan penemuan mereka. Kajian yang disertakan dalam ulasan Cochrane dan bukan Cochrane mempunyai beberapa batasan, terutamanya akibat bilangan peserta yang kecil. Keputusan yang dibentang dalam gambaran keseluruhan ini menunjukkan manfaat dan risiko yang tidak jelas untuk kebanyakan rawatan untuk orang dewasa dengan CRPS.
 

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Gambaran keseluruhan ini mengemas kini gambaran keseluruhan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information