Rangsangan elektrik untuk kelemahan otot dalam kalangan dewasa dengan penyakit serius

Latar belakang

Kajian individu mencadangkan rangsangan elektrik neuromuskular, atau NMES, dapat membantu memperbaik kelemahan otot yang sering dialami akibat penyakit progresif. NMES menggunakan unit perangsang ringan dan elektrod kulit untuk menghasilkan pengecutan otot yang terkawal dan selesa. Bentuk senaman pasif NMES ini membolehkan pesakit membuat senaman otot kaki di rumah sambil duduk. Ini mungkin sangat membantu orang yang tidak dapat mengambil bahagian dalam latihan yang lebih berat, misalnya kerana sesak nafas atau fatig.

Keputusan utama

Dalam ulasan kemas kini ini, kami mempertimbangkan 18 kajian klinikal yang membandingkan NMES dengan tiada latihan, NMES plasebo, atau latihan beberat dalam kumpulan orang dengan penyakit respiratori kronik yang serius, kegagalan jantung kronik, dan/atau kanser paru-paru. NMES dilihat lebih berkesan berbanding keadaan kawalan dalam memperbaik kekuatan otot peha. Kami juga melihat kesan positif terhadap hasil ini apabila ukuran yang tepat diguna untuk menilai otot secara pukal. Bukti bagi kesan NMES terhadap keupayaan bersenam tidak konklusif. Penyelidikan lanjut perlu untuk memahami bagaimana NMES dapat diguna dalam pendekatan rehabilitasi lebih luas yang menggabungkan latihan dengan pendidikan dan tingkah laku bagi mengurangkan impak kelemahan otot dalam kehidupan harian, misalnya menjadi lebih aktif secara fizikal.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti dari kajian-kajian menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Bukti berkualiti sangat rendah bermakna kami tidak pasti tentang keputusan tersebut. Bukti berkualiti tinggi bermakna kami sangat yakin dengan keputusan tersebut. Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah rendah untuk kesan pada kekuatan otot peha dan sangat rendah hingga sederhana untuk kesan terhadap hasil lain. Terdapat masalah dengan reka bentuk beberapa kajian; selalunya orang yang mengambil bahagian atau penilai tahu sama ada mereka menerima atau menguji NMES. Tamabahan juga, keputusan bagi banyak hasil tidak konsisten atau tidak tepat.

Implikasi untuk amalan dan penyelidikan

Ulasan ini mencadangkan NMES adalah rawatan yang berpotensi berkesan untuk kelemahan otot dalam kalangan orang dengan penyakit progresif seperti kanser, penyakit pernafasan kronik serius, dan kegagalan jantung kronik, walaupun kualiti buktinya rendah. NMES mungkin dipertimbang untuk diguna dalam program rehabilitasi. Tidak mungkin untuk membandingkan kesan NMES dengan bentuk senaman lain, misalnya latihan beberat, kerana kebanyakan kajian membandingkan NMES dengan kumpulan kawalan yang tidak menerima rawatan atau rawatan palsu. Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk memahami kesan NMES terhadap keupayaan bersenam dan kualiti hidup.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, class of 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information