Soalan ulasan
Kami mengkaji bukti untuk mengetahui kesan ubat individu atau kombinasi ubat-ubatan apabila ubat-ubatan tersebut diberikan untuk mengelakkan paru-paru penderma ditolak berikutan pemindahan pada orang dengan fibrosis sista. Kami hanya mempertimbangkan kajian secara rawak (di mana ia ditentukan secara rawak ubat-ubatan yang diberikan kepada peserta) membandingkan ubat individu atau kombinasi ubat-ubatan dengan plasebo (rawatan dummy tanpa ubat aktif) atau antara satu sama lain.
Latar belakang
Pemindahan paru-paru ialah pilihan rawatan yang tersedia dan realistik untuk orang dengan fibrosis sista di mana paru-paru mereka mengalami kerosakan teruk. Namun, sebagai mekanisme pertahanan semula jadi, tubuh akan mengenali paru-paru yang dipindahkan sebagai benda asing dan mengaktifkan sistem imun untuk menolaknya. Ini dikenali sebagai penolakan cantuman. Untuk mengelakkan ini, ubat-ubatan adalah diperlukan untuk menekan sistem imun selepas pemindahan paru-paru. Terdapat beberapa jenis ubat yang bertindak dengan menekan komponen-komponen sistem imun yang berlainan. Sebilangan besar kajian mengenai ubat-ubatan tersebut memberi fokus kepada semua orang yang telah menjalani pemindahan paru-paru dan tidak khusus kepada mereka dengan fibrosis sista. Pada masa ini, doktor tidak semua setuju dengan cara biasa untuk menggunakan ubat anti-penolakan pada orang dengan fibrosis sista selepas mereka menjalani pemindahan paru-paru.
Tarikh pencarian
Bukti adalah terkini sehingga: 29 Mei 2018.
Ciri-ciri kajian
Walaupun kami menjumpai lima kajian yang meneliti ubat anti-penolakan, mereka merangkumi orang dengan sejumlah penyakit kronik dan bukan hanya fibrosis sista.
Hasil utama
Kajian-kajian yang kami menemui melaporkan hasil dari semua peserta yang digabungkan dan kami tidak dapat mengasingkan hasil yang khusus daripada orang dengan fibrosis sista. Kami menghubungi pra penyelidikan yang menjalankan kajian tersebut, tetapi mereka tidak menghantar hasil khusus yang kami perlukan.
Terdapat satu ulasan mengenai ubat-ubatan untuk menekan sistem imun pada orang yang telah menjalani pemindahan paru-paru (tidak terhad kepada mereka dengan fibrosis sista) dan ini hanya merangkumi tiga kajian yang dinilai oleh penulis ulasan mempunyai risiko bias berat sebelah yang tinggi. Ulasan itu tidak mendapati bahawa satu ubat lebih baik daripada yang lain dalam mengurangkan kemungkinan kematian atau penolakan akut; namun satu ubat (tacrolimus) menyebabkan risiko penolakan jangka panjang dan tekanan darah tinggi yang lebih rendah, walaupun terdapat risiko diabetes yang lebih tinggi.
Penyelidikan diperlukan tentang penggunaan ubat-ubatan yang menekan sistem imun pada orang dengan fibrosis sista yang telah menerima pemindahan paru-paru. Oleh sebab kekurangan penyelidikan pada kawasan ini, kami tidak merancang untuk mengemas kini ulasan ini.
Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.