Latihan otot pernafasan dalam sklerosis berbilang

Latar belakang

Sklerosis berbilang (MS) adalah penyakit kronik sistem saraf pusat, yang mempengaruhi kira-kira 2.5 juta orang di seluruh dunia. Walaupun penyebab sebenar penyakit itu tidak diketahui, secara amnya adalah diterima bahawa MS melibatkan tindak balas imun yang abnormal dalam sistem saraf pusat. Bergantung kepada keterukan penyakit, orang dengan MS mungkin mengalami batasan yang berbeza-beza, seperti kekuatan otot dan ketahanan, termasuk otot yang diperlukan untuk bernafas (otot pernafasan). Kekuatan otot pernafasan adalah berkaitan dengan keupayaan untuk berfungsi dan bersenam, dan kelemahan otot pernafasan boleh mengakibatkan batuk kurang berkesan, yang mungkin mengakibatkan penumonia aspirasi (ketika makanan, air liur atau cairan lain termasuk ke dalam saluran udara daripada ditelan) atau kegagalan akut fungsi pernafasan. Komplikasi-komplikasi pulmonari ini sering dilapor menyebabkan kematian orang dengan MS. Latihan otot pernafasan boleh memperbaiki keberkesanan pernafasan dan batuk.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data elektronik untuk kajian rawak terkawal (di mana peserta diletakkan secara rawak sama ada kepada lengan rawatan atau kawalan) yang diterbitkan sehingga 3 Februari 2017 yang menyiasat latihan otot pernafasan dalam kalangan orang dengan MS. Di samping itu, kami menghubungi pakar dalam bidang tersebut untuk mengenal pasti kajian tambahan.

Keputusan utama

Kami mendapati enam kajian melibatkan 195 peserta dengan MS. Latihan terdiri daripada dua atau tiga set dalam 10 hingga 15 ulangan, dua kali sehari selama sekurang-kurangnya tiga hari seminggu, dan intervensi berlangsung selama enam minggu hingga tiga bulan. Susulan adalah tiada susulan hingga enam bulan. Dua kajian yang dimasukkan menyiasat latihan otot inspiratori dengan peranti ambang (iaitu peranti pernafasan mudah alih yang meningkatkan rintangan aliran udara semasa menarik nafas atau menghembuskan nafas). Tiga kajian menyiasat latihan otot ekspiratori dengan peranti ambang, dan satu kajian menyiasat latihan pernafasan. Kami mendapati manfaat dengan latihan otot inspiratori untuk meningkatkan tekanan inspiratori maksimal yang diramalkan, tetapi bukan untuk meningkatkan tekanan inspiratori maksimal yang diukur. Kami tidak menemui sebarang kesan untuk tekanan ekspiratori maksimal. Hanya satu kajian mengukur kualiti hidup, tetapi ia tidak menemui sebarang kesan; dua kajian mengukur keletihan dan juga gagal untuk mencari perbezaan antara kumpulan rawatan dan kawalan. Lapan belas peserta (~ 10%) menarik diri, dan tiada kajian melaporkan sebarang peristiwa buruk yang serius.

Kualiti bukti

Enam kajian yang layak untuk dimasukkan dalam ulasan ini adalah kecil, jadi kuasa statistik adalah rendah, membuatkan analisis kurang tepat. Di samping itu, kajian-kajian itu adalah heterogen dari segi jenis latihan otot pernafasan, dos/keamatan dan keterukan MS. Di samping itu, kami tidak dapat menganalisis kesan latihan, contohnya, keberkesanan batuk, pneumonia dan kualiti hidup, kerana kajian yang disertakan tidak melaporkan hasil ini walaupun ia penting bagi pesakit, penjaga dan profesional penjagaan kesihatan. Secara keseluruhannya, ulasan ini menyediakan bukti berkualiti rendah bahawa latihan otot inspiratori rintangan memperbaiki ramalan kekuatan otot inspiratori dalam kalangan orang dengan MS. Kami tidak menemui sebarang kesan untuk latihan otot ekspiratori rintangan. Lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi dalam latihan otot pernafasan dalam MS diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information