Apakah isunya?
Untuk menilai kesan polisi pembedahan caesarean yang dirancang berbanding kelahiran faraj yang dirancang untuk wanita yang mempunyai pra-eklampsia yang teruk ke atas kematian dan morbiditi ibu dan bayi.
Mengapakah ini penting?
Pra-eklampsia adalah masalah yang sangat kerap terjadi semasa kehamilan yang menjejaskan sehingga satu daripada 10 wanita hamil. Wanita hamil dengan pra-eklampsia mempunyai gejala seperti tekanan darah tinggi, sakit kepala, masalah dengan penglihatan dan bengkak tangan, betis atau kaki. Sekiranya tidak dirawat, pra-eklampsia yang serius boleh membawa kepada kemorosotan kesihatan atau kematian untuk kedua-dua wanita hamil dan bayinya. Lebih ramai wanita di negara berpendapatan rendah dan dalam keadaan ekonomi yang sukar menderita dan mati akibat pra-eklampsia. Satu-satunya rawatan yang pasti bagi penyakit ini ialah dengan kelahiran bayi. Oleh itu, adalah menjadi kebiasaan bagi doktor dan wanita hamil dengan pra-eklampsia yang serius untuk membincangkan kelahiran bayi selepas 34 atau 37 minggu kehamilan, dengan masa tersebut bergantung kepada kesihatan ibu dan bayi. Penyelidik ingin tahu sama ada pembedahan caesarean yang dirancang atau kelahiran faraj yang dirancang adalah paling selamat bagi wanita yang mempunyai pra-eklampsia yang serius dan bayi mereka.
Pra-eklampsia serius adalah salah satu punca yang paling biasa bagi wanita hamil untuk melahirkan lebih awal. Selalunya bayi perlu dilahirkan sebelum wanita dalam keadaan hendak melahirkan. Ramai doktor lebih suka melakukan caesarean ke atas wanita yang mempunyai pra-eklampsia yang serius, walaupun bayi itu sihat. Walau bagaimanapun, kajian berbentuk pemerhatian telah menunjukkan bahawa pembedahan caesarean mungkin memburukkan harapan ibu dan bayi, dengan peningkatan risiko komplikasi. Cara terbaik untuk melahirkan bayi untuk wanita dengan pra-eklampsia yang serius belum lagi diketahui.
Apakah bukti yang penyelidik perolehi?
Ujian klinikal rawak dianggap sebagai cara terbaik untuk menguji pilihan rawatan yang berbeza dan menentukan rawatan mana yang lebih selamat dan lebih baik secara keseluruhan. Penyelidik mencari kajian pada 6 September 2017, tetapi tidak menemui sebarang kajian klinikal rawak yang membandingkan pembedahan caesarean yang dirancang berbanding kelahiran faraj yang dirancang untuk wanita yang mempunyai pra-eklampsia yang teruk. Tiada bukti dari RCT untuk membantu menentukan jenis kelahiran yang lebih baik untuk wanita hamil dengan pra-eklampsia yang serius dan bayinya.
Apakah maksudnya?
Penyelidik tidak mempunyai sebarang maklumat daripada kajian klinikal rawak untuk menilai sama ada pembedahan caesarean atau kelahiran faraj adalah lebih baik untuk wanita hamil dengan pra-eklampsia yang teruk, dan bayinya. Sehingga satu masa dengan adanya kajian klinikal rawak yang baik, wanita hamil yang mempunyai pra-eklampsia yang teruk perlu bercakap dengan doktor mereka mengenai pilihan mereka untuk melahirkan bayi mereka dengan selamat dan dengan keputusan yang terbaik. Doktor dan wanita hamil kemudiannya boleh memutuskan sama ada pembedahan caesarean atau kelahiran faraj adalah yang terbaik untuk kesihatan ibu dan bayi untuk jangka pendek dan panjang.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.