Terdapat peningkatan berterusan bilangan orang yang didiagnos dengan kanser kepala dan leher. Ia lebih lazim dalam kalangan lelaki berumur lebih 60 tahun, tetapi kadar insidens meningkat, terutama dalam kalangan usia awal dewasa (lelaki dan wanita di bawah umur 40). Kadar survival untuk sesetengah kanser kepala dan leher ialah lebih daripada 50%. Hasilnya, kualiti hidup pesakit kanser kepala dan leher dan bagaimana mereka menyesuaikan hidup selepas rawatan menjadi semakin penting. Malangnya corak kehidupan boleh berubah selepas menjalani rawatan disebabkan oleh perubahan ketara dalam penampilan, atau perubahan dalam cara bercakap dan makan. Juga, kumpulan pesakit ini diketahui mempunyai kadar merokok dan pengambilan alkohol yang tinggi. Kombinasi lebih ramai orang yang hidup dengan kanser kepala dan leher, dan banyak isu-isu berkaitan dengan kanser, telah mendorong profesional penjagaan kesihatan membangunkan program-program bagi menyokong pesakit-pesakit dengan beberapa masalah yang mungkin dialami selepas rawatan. Fokus program ini adalah untuk menangani masalah emosi atau sosial yang berkaitan dengan kanser para pesakit dan ia dikenali sebagai 'intervensi psikososial'. Ulasan ini mengkaji bukti bagi keberkesanan intervensi psikososial untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan psikososial.
Kami mengenal pasti tujuh kajian, dengan jumlah 542 orang dewasa yang menghidap kanser kepala dan leher. Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian mempunyai kelemahan dalam reka bentuk atau laporan. Ini telah menyukarkan untuk membuat kesimpulan yang boleh percaya.
Secara keseluruhannya, ulasan ini tidak mendapati sebarang penambahbaikan kualiti hidup atau tahap kebimbangan dan kemurungan berikutan intervensi psikososial.
Kesimpulannya, bukti yang berkualiti amat terhad dalam bidang ini, menjadikannya sukar untuk membuat kesimpulan tentang keberkesanan intervensi psikososial. Penyelidikan lebih berkualiti diperlukan dalam bidang ini pada masa hadapan dan patut mensasarkan kepada mereka yang memerlukan intervensi psikososial, untuk membimbing pembangunan perkhidmatan.
Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my