Ubat pencair darah untuk pencegahan pembekuan darah pada orang yang menghidap kanser semasa menjalani pembedahan

Latar belakang
Orang dengan kanser yang menjalani pembedahan mempunyai risiko tinggi terhadap pembekuan darah. Ubat pencair darah (antikoagulan) diberikan untuk mencegah pembekuan termasuk heparin tanpa fraksi (unfractionated heparin, UFH) yang disuntik secara intravena (ke dalam vena), heparin dengan berat molekul rendah (low-molecular weight heparin, LMWH) yang disuntik secara subkutan (di bawah kulit) sekali atau dua kali sehari, serta fondaparinux. Ubat pencair darah ini mempunyai profil keberkesanan dan keselamatan yang berbeza.

Ciri-ciri kajian
Kami mencari pangkalan data saintifik untuk percubaan klinikal yang melihat kepada kesan ubat pencair darah pada kematian, embolisme paru-paru (pembekuan darah dalam paru-paru), trombosis vena dalam (pembekuan darah dalam vena kaki), lebam, pendarahan, dan keperluan untuk pemindahan darah pada orang yang menghidap kanser yang memerlukan operasi. Kami menyertakan kajian-kajian yang melibatkan orang dewasa dan kanak-kanak dengan pelbagai umur atau jantina dengan tumor pepejal atau kanser darah tanpa mengambil kira jenis rawatan kanser. Bukti terkini sehingga 14 Jun 2018.

Hasil utama
Kami mendapati 20 kajian yang merangkumi 9771 orang dengan kanser. Bukti tersebut tidak dapat mengesan sebarang perbezaan diantara kesan LMWH dan UFH pada kematian, mendapat bekuan darah, atau pendarahan. Di kalangan orang yang menggunakan LWMWH, terdapat kurang lebam di sekitar luka berikutan pembedahan berbanding dengan UFH. Fondaparinux mungkin mengurangkan risiko untuk mendapat pembekuan darah.

Kebolehpercayaan bukti
kebolehpercayaan bukti bervariasi dari rendah hingga sederhana untuk hasil yang kami ingin kaji.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information