Naproxen untuk serangan migrain akut pada orang dewasa

Migrain adalah keadaan yang kompleks dengan pelbagai gejala. Bagi kebanyakan orang, ciri utama adalah sakit kepala yang menyakitkan. Gejala lain termasuk berasa sakit, penglihatan yang terganggu dan sensitiviti kepada cahaya, bunyi, dan bau.

Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) digunakan untuk merawat sakit kepala migrain. Salah satu NSAID adalah naproxen. Pada 22 Mei 2013, penyelidik mencari kajian klinikal di mana naproxen digunakan untuk merawat masalah sakit kepala migrain. Kami menjumpai enam kajian berkualiti baik dengan kira-kira 2700 orang.

Naproxen lebih berkesan daripada plasebo untuk melegakan sakit kepala migrain pada orang dewasa, tetapi kesannya lemah. Dari sakit kepala yang digambarkan sebagai sederhana atau teruk, kira-kira 2 dalam 10 orang (17%) hilang sakit dalam tempoh dua jam ketika dirawat dengan naproxen. Namun, kira-kira 1 dalam 10 (8%) hilang sakit pada dua jam apabila dirawat dengan plasebo. Hampir 5 dalam 10 mendapat kelegaan sakit kepala dengan naproxen, dan 3 dalam 10 dengan plasebo. Naproxen tidak sebaik ubat lain seperti ibuprofen atau sumatriptan. Lebih banyak pening, sensasi kesemutan (paraesthesia), mengantuk (somnolence), loya, senak (dispepsia), mulut kering, dan ketidakselesaan perut dilaporkan dengan dos 825 mg. Kesan ini secara umumnya ringan hingga sederhana dan jarang menyebabkan penarikan diri daripada kajian.

Naproxen bukanlah ubat yang baik untuk merawat migrain pada dos 500 mg atau 825 mg seperti yang digunakan dalam kajian yang dijumpai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information