Soalan ulasan
Satu pasukan penyelidik Cochrane mengkaji bagaimana sulthiame berfungsi apabila ia digunakan sebagai ubat antiepilepsi tambahan (ubat yang mengurangkan sawan) terhadap mereka yang menghidap mana-mana jenis epilepsi.
Latar belakang
Epilepsi adalah gangguan neurologi (otak) yang paling kerap dimana cirinya adalah serangan sawan yang berulang. Kebanyakan pesakit menunjukkan tindak balas yang baik terhadap ubat antiepilepsi konvensional. Walau bagaimanapun, kira-kira 30% masih terus mendapat serangan sawan. Mereka ini dikatakan mempunyai epilepsi perintang ubat.
Sulthiame adalah ubat antiepilepsi yang digunakan secara meluas di sesetengah negara Eropah dan Israel. Kadang-kadang ia digunakan sebagai ubat antiepilepsi tambahan (add-on) bagi mereka yang mempunyai epilepsi, bersama-sama dengan ubat antiepilepsi yang sedia ada.
Keputusan utama
Kajian rawak terkawal (RCT) memberikan bukti yang paling dipercayai untuk ubat-ubatan. Pasukan ini mencari penerbitan perubatan bagi kajian rawak terkawal yang membandingkan sulthiame sebagai terapi tambahan dengan tambahan plasebo (ubat palsu yang tidak aktif), atau lain-lain ubat antiepilepsi.
Penyelidik mendapati satu kajian yang relevan yang melibatkan 37 bayi, berumur dari tiga hingga 15 bulan, yang telah diagnosis dengan sindrom West, sejenis epilepsi. Kajian ini dibiayai oleh DESITIN Pharma (Jerman). Semua bayi telah diberikan ubat antiepilepsi pada peringkat permulaan, pyridoxine, tiga hari sebelum mereka menambah sulthiame atau plasebo. Ibu bapa bayi tersebut tidak mengetahui terapi tambahan mana yang diteima oleh anak-anak mereka. Kajian tersebut dijalankan selama sembilan hari.
Bukti yang sangat tidak pasti daripada kajian tersebut menunjukkan bahawa sulthiame mungkin menghentikan sawan pada pesakit dengan sindrom West yang mana sawan mereka tidak berhenti dengan pyridoxine. Terdapat tiga puluh peratus lebih bayi dimana sawan mereka berhenti apabila mereka menerima tambahan sulthiame (6/20 peserta kajian) berbanding dengan tambahan plasebo (0/17 peserta kajian). Perbezaan ini secara statistiknya tidak signifikan, kerana sangat sedikit bayi yang terlibat dalam kajian tersebut.
Jumlah bilangan bayi mengalami satu atau lebih kesan buruk dalam kedua-dua kumpulan (9 bayi dalam setiap kumpulan) adalah sama. Lebih ramai bayi yang menjadi mengantuk apabila mereka menerima tambahan sulthiame (4/20), berbanding dengan mereka yang menerima tambahan plasebo (1/17), tetapi sekali lagi, ini tidak signifikan dari segi statistik.
Bilangan bayi yang sedikit di dalam kajian ini, dan tempoh yang singkat, bermakna kami tidak yakin bahawa keputusan tersebut boleh dipercayai.
Kajian rawak terkawal lanjut diperlukan sebelum kesimpulan yang bermakna boleh dibuat ke atas keberkesanan sulthiame berfungsi sebagai tambahan terapi dalam sindrom West dan lain-lain jenis epilepsi, dan untuk menetapkan sama ada ia menghasilkan apa-apa kesan serius yang tidak diingini atau berbahaya.
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2019.
Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my