Vapocoolants (semburan sejuk) untuk rawatan sakit semasa kanulasi intravena

Latar belakang

Kanulasi intravena untuk ujian darah atau rawatan adalah prosedur biasa, selalunya menyakitkan. Semburan vapocoolant atau "semburan sejuk" diberikan ke atas kulit sejurus sebelum penusukan jarum untuk memberikan sedikit kelegaan sakit. Vapocoolant menawarkan beberapa kelebihan berbanding dengan teknik penghilang sakit yang lain, terutama kesan pantasnya (beberapa saat).

Kami menyemak bukti yang menunjukkan keberkesanan vapocoolants dalam mengurangkan kesakitan yang berkaitan dengan memasukkan kanula intravena. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2015.

Keputusan

Kami mengenal pasti sembilan kajian yang melibatkan 1070 peserta yang membandingkan penggunaan vapocoolants dengan penggunaan semburan plasebo atau tanpa semburan pada kanak-kanak dan orang dewasa yang menjalani kanulasi intravena di mana-mana tempat penjagaan kesihatan. Penyiasat dalam tiga kajian telah menerima pembiayaan daripada sumber yang tidak dilaporkan terlibat dalam reka bentuk dan analisis kajian. Pengeluar vapocoolant menyediakan penyembur vapocoolant dan plasebo untuk dua kajian dan tidak terlibat dalam reka bentuk kajian ataupun dalam analisis keputusan.

Kami mendapati bahawa vapocoolants berkemungkinan untuk mengurangkan kesakitan semasa kanulasi intravena dan tidak berkemungkinan untuk menyukarkan kanulasi atau menyebabkan kesan buruk yang serius. Kami mencatat bahawa penggunaan vapocoolant menyebabkan sedikit ketidakselesaan, tetapi penggunaan semburan tersebut mengakibatkan pengurangan kesakitan. Dengan menggunakan skala skor kesakittan dari 0 hingga 100 mm (0 = tiada kesakitan dan 100 = kesakitan yang paling teruk), kami mendapati bahawa purata skor kesakitan dikurangkan sebanyak 12.5 mm dalam peserta yang menerima semburan vapocoolant.

Kualiti bukti kajian

Secara keseluruhannya, kualiti bukti adalah sederhana dan bukannya tinggi. Walau bagaimanapun, pengecualian kajian kualiti yang lebih buruk tidak mengubah keputusan kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Kien How (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information