Perletakan stoma pararektal lateral berbanding transrektal untuk pencegahan hernia parastoma

Kami bertanya

Adakah perbezaan kadar hernia parastoma dan komplikasi lain yang berkaitan stoma dalam kalangan orang yang menjalani enterostomi dinding abdomen, apabila membandingkan dua teknik pembentukan stoma: pararektal lateral, di mana stoma diletak di sebelah otot rektus abdominis, salah satu otot dinding abdomen, berbanding transrektal, di mana stoma ditarik melalui otot rektus abdominis?

Latar belakang

Stoma adalah pembukaan di abdomen, yang dibuat melalui pembedahan untuk mengalihkan aliran air kencing atau najis; enterostomi adalah stoma yang bermula dari usus. Hernia parastoma adalah hernia insisi, di mana kandungan abdomen menonjol melalui kecacatan pada dinding abdomen di tapak pembedahan terdahulu. Ia berkait dengan stoma, dan merupakan salah satu komplikasi berkaitan stoma yang paling lazim. Banyak faktor yang berpotensi mempengaruhi kejadian hernia parastoma telah disiasat. Walau bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada enterostomi perlu diletakkan melalui atau di sebelah otot rektus abdominis untuk mencegah hernia parastoma.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 9 November 2018. Dalam kemaskini ini, kami menyertakan 10 kajian kohort retrospektif dengan sejumlah 864 peserta, dan satu kajian rawak terkawal (RCT: kajian di mana para peserta secara rawak diperuntukkan kepada kumpulan rawatan), yang melibatkan 60 peserta. Kumpulan sasar adalah individu tanpa mengira umur, yang menerima enterostomi sementara atau kekal untuk sebarang sebab sama ada elektif (dirancang) mahupun kecemasan.

Keputusan utama

Hasil kajian mendapati keputusan yang tidak konklusif di antara kedua-dua teknik untuk risiko hernia parastoma (11 kajian, 924 peserta), prolaps stoma (1 kajian, 145 peserta), ileus atau stenosis (1 kajian, 60 peserta), dan kerengsaan kulit (1 kajian , 60 peserta).

Tiada teknik yang lebih baik daripada yang lain untuk sebarang hasil yang berkaitan dengan stoma.

Tiada kajian yang mengukur masalah lain yang berkaitan stoma, atau kematian.

Kualiti bukti

Kami menurunkan kualiti bukti kepada sederhana, rendah atau sangat rendah, kerana risiko bias, saiz sampel yang kecil, kejadian yang sedikit, dan kepelbagaian dalam kajian.

Kesimpulan

Berdasarkan pengetahuan semasa yang dibentangkan dalam ulasan ini, tiada bukti untuk menyokong penggunaan satu teknik pembentukan stoma berbanding yang lain. Penyelidikan lanjut mungkin memberi impak penting dalam keyakinan kami terhadap anggaran kesan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com

Tools
Information