Midazolam untuk ubat pelali sebelum prosedur

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui sama ada midazolam menjadikan prosedur perubatan lebih selesa dikalangan kanak-kanak dan orang dewasa, dan juga sama ada ia menjadikan prosedur lebih mudah untuk dilaksanakan.

Latarbelakang

Kanak-kanak dan orang dewasa boleh menjadi cemas semasa prosedur perubatan dan prosedur boleh menyakitkan. Kesakitan dan keresahan kadang-kadang boleh membuat prosedur lebih sukar dilaksanakan oleh kakitangan perubatan, disebabkan oleh pergerakan atau kekurangan kerjasama daripada pesakit. Ubat sedatif, termasuk midazolam, digunakan untuk mengurangkan sakit dan keresahan. Ubat sedatif boleh disuntik terus ke dalam aliran darah (dengan kesan yang hampir serta-merta), disuntik ke dalam tisu otot, diberikan sebagai semburan hidung, atau ditelan sebagai tablet atau cecair.

Ciri-ciri kajian

Bukti dikemaskini sehingga Januari 2016. Kami memasukan 30 kajian yang melibatkan 2319 peserta. Kami melihat kajian yang membandingkan kegunaan midazolam dengan tiada rawatan aktif ( rawatan 'tiruan' / plasebo) atau ubat yang berbeza untuk ketenangan sebelum prosedur. Kajian-kajian tersebut melibatkan kanak-kanak dan orang dewasa yang menerima prosedur untuk diagnosa masalah perubatan dan bukan untuk rawatan penyakit. Kami tidak menerima kajian di mana pesakit menerima ubat bius atau ubatan lain untuk ketenangan atau melegakan sakit di samping midazolam semasa prosedur mereka.

Keputusan utama

Midazolam disuntik ke dalam aliran darah dibanding dengan ubatan lain tidak menjadikan peserta lebih mengantuk, mengurangkan kebimbangan atau sakit, atau menjadikan prosedur senang untuk dilaksanakan. Ini adalah berdasarkan kepada bukti yang berkualiti rendah yang sedia ada. Satu manfaat yang berpotensi iaitu kanak-kanak dan orang dewasa yang menerima midazolam tidak mengingati banyak tentang prosedur berbanding dengan tiada rawatan aktif. Midazolam menjadikan mereka mengantuk, mengurangkan kebimbangan dan memudahkan perlaksanaan prosedur. Terdapat bukti berkualiti sederhana bahawa larutan midazolam diberikan kepada kanak-kanak untuk diminum sebelum prosedur kurang berkesan berbanding dengan ubat yang berbeza dipanggil khloral hidrat. Semburan hidung midazolam sebelum prosedur membuat peserta-peserta mengantuk dan mengurangkan kebimbangan mereka, tetapi ini tidak membuat perlaksanaan prosedur lebih mudah. Ulasan ini tidak boleh digunakan untuk menilai kemudaratan midazolam untuk ketenangan sebelum prosedur.

Kualiti bukti

Kami menilai bukti, yang utama, sebagai berkualiti rendah. Khususnya yang membimbangkan ialah banyak kajian tidak menjelaskan bagaimana cara para peserta dibahagikan secara rawak untuk menerima sama ada midazolam atau rawatan berbeza, dan keputusan tidak memberikan kami jawapan yang sangat jelas.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College).Disunting oleh Lai Nai Ming,(School of Medicine, Taylor's University, Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini,sila hubungi nila@pmc.edu.my

Tools
Information