Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengenalpasti jika ubat titis mata NAC dapat mencegah atau membalikkan progresi katarak (kanta keruh di dalam mata).
Mesej utama
Kami tidak pasti sama ada ubat titis mata NAC mencegah atau membalikkan progresi katarak.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Mata mengandungi kanta yang jernih untuk memfokus sinaran cahaya pada bahagian belakang mata. Apabila usia meningkat, kanta ini boleh menjadi keruh, menyebabkan masalah penglihatan. Kanta mata yang keruh dikenali sebagai katarak. Doktor boleh menyingkirkan katarak dan menggantikannya dengan kanta tiruan. Ia biasanya suatu pembedahan yang sangat berjaya. Tetapi, sebarang pembedahan ada risiko dan mungkin menjadi pengalaman yang kurang menyenangkan. Katarak lazim terjadi dalam populasi lanjut usia dan pembedahan katarak adalah mahal bagi sistem penjagaan kesihatan. Oleh itu, terdapat minat untuk mencegah, atau merawat katarak, supaya pembedahan boleh dielak.
Sebagai sebahagian daripada proses metabolisme normal, badan menghasilkan bahan kimia yang mengandungi oksigen dan bersifat reaktif (“spesies oksigen reaktif”). Salah satu teori penuaan berpendapat bahan kimia ini boleh memudaratkan dan mungkin mendatangkan perubahan yang berkaitan dengan usia dalam tubuh badan, seperti katarak. Ini dikenali sebagai tekanan oksidatif. N-acetylcarnosine (NAC) ditanggap mampu menangkis beberapa kesan tekanan oksidatif kerana ia mempunyai sifat anti-oksidan. Sekiranya NAC dapat mencegah kanta menjadi keruh, atau mengurangkan tahap kekeruhan kanta, ini mungkin dapat memperbaik penglihatan dan kualiti hidup.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Para Penyelidik Cochrane mengenalpasti dua kajian yang relevan. Kajian-kajian tesebut membandingkan ubat titis mata NAC dengan plasebo atau tiada rawatan. Kajian-kajian ini adalah daripada Rusia dan Amerika Syarikat dan dijalankan oleh kumpulan penyelidikan yang sama. Penyelidik Cochrane tidak dapat memperoleh cukup maklumat tentang kajian-kajian tersebut untuk dimasukkan dalam ulasan. Kajian-kajian ini dikelaskan sebagai 'kajian yang sedang menunggu klasifikasi' dalam ulasan kami sehingga maklumat yang cukup dapat diperoleh daripada penulis.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Penulis ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 28 Jun 2016.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini.Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).