Apakah faedah dan risiko ablasi endovenous (penyingkiran intravena) (menggunakan haba atau ubat untuk menutup vena secara kekal) untuk merawat ulser kaki vena

Mesej-mesej utama

Berbanding dengan rawatan mampatan sahaja, atau mampatan dengan rawatan endovenous (tetapi ditangguhkan sehingga selepas ulser telah sembuh):

- ablasi endovenous bersama dengan mampatan mengurangkan masa untuk menyelesaikan penyembuhan ulser;

- rawatan endovenous dengan mampatan bersama mungkin meningkatkan bahagian ulser yang sembuh pada 90 hari;

- gabungan rawatan endovenous dengan pemampatan mungkin tidak mengubah kekambuhan ulser atau bilangan hari bebas ulser pada satu tahun.

Kajian lanjut diperlukan untuk:

- kesan ablasi endovenous untuk ulser kronik (jangka panjang);

- sejauh mana keberkesanan teknik-teknik ablasi endovenous yang berbeza.

Apakah ulser vena kaki?

Ulser vena kaki (VLU) adalah luka terbuka di bawah lutut yang disebabkan oleh penyakit vena kronik.

Vena di betis biasanya mengepam darah kembali ke jantung. Injap dalam urat ini menghalang darah daripada mengalir kembali ke kaki. Jika injap ini gagal, tekanan boleh meningkat di kaki, yang boleh menyebabkan keradangan, kerosakan kulit dan pembentukan ulser.

Ulser vena kaki mengambil masa yang lama untuk sembuh dan sering berulang. Ini menjejaskan kualiti hidup dengan ketara, dan merawat VLU sangat membebankan sistem kesihatan daripada segi kewangan.

Bagaimanakah ulser vena kaki dirawat?

Ulser vena kaki biasanya dirawat dengan terapi mampatan. Ini melibatkan pemakaian stokin atau stoking yang membantu menambah aliran darah di kaki.

Urat yang bermasalah juga boleh dibuang melalui pembedahan. Walau bagaimanapun, ini bukan pilihan yang popular dalam kalangan pesakit, dan ramai orang tidak dapat menjalani pembedahan seperti ini kerana masalah perubatan lain.

Ablasi endovenous adalah teknik invasif minimum yang lebih baharu yang merawat penyakit vena dengan menyekat vena tertentu. Ubat disuntik ke dalam urat, atau peranti dimasukkan ke dalam urat dan kemudian dipanaskan untuk menutupnya secara kekal.

Ablasi endovenous digabungkan dengan terapi mampatan bertujuan untuk mengurangkan lagi tekanan dalam urat kaki, yang mungkin memjejaskan penyembuhan ulser.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada ablasi endovenous digabungkan dengan terapi mampatan:

- membantu menyembuhkan VLU;

- menghalang VLU daripada berulang;

- memperbaik kualiti hidup;

- adalah kos efektif;

- dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami buat?
Kami mencari kajian tentang ablasi endovenous dengan terapi mampatan berbanding terapi mampatan sahaja untuk merawat VLU. Tiada sekatan pada bahasa penerbitan.

Kami bandingkan dan ringkaskan keputusan-keputusan tersebut dan menilai keyakinan bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian-kajian.

Apakah yang kami dapati?

Dalam ulasan asal kami, kami tidak menemui sebarang kajian yang layak. Dalam kemas kini ini kami menemui dua kajian baharu yang berkaitan. Kami mendapati satu kajian UK dengan 450 peserta dan satu kajian Brazil dengan 56 peserta.

Berbanding dengan terapi mampatan sahaja, atau mampatan dengan rawatan endovenous tertunda:

- gabungan ablasi dan pemampatan endovenous memperbaik masa untuk penyembuhan ulser sepenuhnya;

- gabungan rawatan dan pemampatan endovenous mungkin meningkatkan bahagian ulser yang sembuh pada 90 hari;

- gabungan rawatan dan pemampatan endovenous mungkin tidak memberi kesan pada pengulangan ulser pada satu tahun atau bilangan hari bebas ulser pada satu tahun;

- gabungan rawatan endovenous dan pemampatan mungkin efektif dari segi kos pada satu tahun;

- rawatan gabungan endovenous dan mampatan mungkin tidak mempunyai kesan terhadap darah beku (tromboembolisme vena).

Apakah batasan bukti?

Kebanyakan peserta mengalami ulser kurang daripada enam bulan. Walaupun keputusan mereka yang mempunyai ulser jangka panjang serupa, penyelidikan lanjut diperlukan untuk mengesahkannya.

Ulasan ini tidak menemui sebarang kajian yang menilai sama ada beberapa teknik ablasi endovenous adalah lebih berkesan daripada yang lain untuk orang yang mengalami ulser vena kaki.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini setakat April 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Jing Yu Wee (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information