Adakah kaedah rawatan elektrokoagulasi(arus elektrik berfrekuensi tinggi) yang dialirkan di kawasan berdekatan dapat membunuh sel kanser di dalam hati?
Latar belakang
Apabila kanser merebak ke bahagian lain di dalam badan, salah satu bahagian yang paling biasa ia merebak adalah hati. Selain kanser hati (primer, atau kanser hati asal), metastasis hati (kanser baru yang bermula di bahagian lain tubuh, bukannya bahagian asal kanser itu bermula) yang berasal dari kanser kolorektal adalah kanser yang paling biasa merebak ke hati. Lebih daripada separuh daripada mereka yang menghidap kanser yang barahnya merebak ke hati mati akibat komplikasi ini. Metastasis di hati dapat dimusnahkan dengan menggunakan beberapa kaedah yang berbeza; salah satunya adalah elektrokoagulasi menggunakan diatermi. Kaedah ini memerlukan elektrod khas diletakkan di dalam atau berhampiran dengan tempat kanser itu berada. Elektrod digunakan untuk mengalirkan arus elektrik yang berfrekuensi tinggi, yang menghasilkan suhu yang tinggi. Suhu yang tinggi ini menyebabkan protein yang ada di dalam tisu menjadi berketul, atau membeku, dan menjadi musnah. Elektrod daitermi itu diposisikan dengan membuka bahagian perut dengan laparotomi (pembedahan terbuka, saiz besar) atau laparoskopi (pembedahan lubang kunci, saiz yang kecil).
Kaedah
Kami mencari ujian klinikal secara rawak yang menilai kesan elektrokoagulasi oleh diatermi, diberikan secara sendirian atau digabungkan dengan intervensi lain, berbanding tanpa intervensi, atau rawatan lain, pada mereka yang ada kanser dari mana-mana lokasi yang telah merebak ke hati. Kami melihat kesan elektrokoagulasi terhadap risiko kematian, kualiti hidup, kejadian buruk (kesan yang tidak diingini yang disebabkan oleh intervensi), masa hingga kematian, kegagalan membersihkan metastasis hati atau metastasis hati berulang, masa untuk perkembangan metastasis hati, dan tindak balas tumor.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari bukti terakhir pada 6 Oktober 2020. Kami hanya mengenal pasti satu percubaan klinikal secara rawak. Percubaan membahagikan peserta secara rawak kepada empat kumpulan intervensi: pertama elektrokoagulasi (penggunaan diatermi) sahaja; kedua elektrokoagulasi ditambah dengan dimethyl sulphoxide; ketiga elektrokoagulasi ditambah dengan allopurinol; keempat kumpulan kawalan, yang hanya mendapat larutan allopurinol melalui mulut. Rawatan dimulakan pada hari kelima setelah pembedahan membuang kolon sigmoid (bahagian usus yang terakhir), dan peserta dipantau selama lima tahun. Percubaan itu merangkumi 306 peserta, tetapi data hanya dapat dikumpulkan daripada 223 peserta.
Keputusan utama
Berdasarkan satu percubaan klinikal secara rawak, dengan risiko berat sebelah yang tinggi dan peserta yang sedikit, kami mendapati bukti yang tidak mencukupi untuk mengesan sama ada elektrokoagulasi dengan diatermi sahaja, berbanding dengan cecair allopurinol (kumpulan kawalan), memberi perbezaan risiko kematian dan kematian selepas operasi bagi mereka yang mempunyai metastasis hati akibat kanser kolon; elektrokoagulasi dengan kombinasi allopurinol atau dimethyl sulphoxide sedikit sebanyak dapat mengurangkan risiko kematian berbanding dengan intervensi kawalan, tetapi buktinya juga tidak mencukupi dan tidak pasti. Sangat tidak dapat dipastikan jika terdapat perbezaan kematian selepas pembedahan di antara kumpulan elektrokoagulasi yang digabungkan dengan allopurinol atau dimethyl sulphoxide berbanding dengan intervensi kawalan. Data mengenai kejadian dan komplikasi buruk lain, metastasis hati berulang, masa untuk perkembangan metastasis hati, tindak balas tumor, dan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan kurang atau tidak mencukupi untuk dianalisis.
Kualiti Bukti
Kami menilai bukti-bukti yang didapati sebagai mempunyai kepastian rendah hingga sangat rendah kerana kajian ini tidak dijalankan dengan baik, menyebabkan data yang diperolehi mempunyai risko bias yang tinggi terhadap kebolehpercayaan. Kajian ini melibatkan sejumlah kecil sahaja peserta dan melaporkan keseluruhan beberapa penemuan sahaja. Hasil yang dilaporkan tidak mencukupi kerana hanya beberapa hasil sahaja dilaporkan yang relevan pada mereka yang mempunyai metastasis hati dan doktor mereka.
Elektrokoagulasi menggunakan diatermi tidak lagi digunakan dengan cara yang digunakan di dalam kajian ini kerana telah digantikan dengan teknik lain. Ini boleh menjadi sebab kurangnya kajian lebih lanjut dilakukan menggunakan kaedah ini.
Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my