Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui apakah faktor pertumbuhan endothelial anti-vaskular (anti-VEGF) berfungsi untuk rawatan edema makular (MO) sekunder kepada oklusi vena retina cabang (BRVO). Penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisa semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menjumpai lima kajian.
Mesej utama
Ulasan menunjukkan bahawa orang dengan MO disebabkan oleh BRVO mendapat manfaat daripada rawatan dengan anti-VEGF dengan peningkatan peluang untuk peningkatan penglihatan pada enam dan 12 bulan jika dibandingkan dengan rawatan, suntikan laser atau steroid.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Terdapat saluran darah kecil di bahagian belakang mata (retina) yang dikenali sebagai arteri (ketika darah masuk ke dalam mata) dan vena (ketika darah meninggalkan mata). BRVO berlaku apabila vena yang menyalirkan sebahagian retina tersumbat. Ini boleh menyebabkan pembengkakan (edema) di bahagian belakang mata yang boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan, terutama jika terjadi di pusat retina (makula).
Salah satu pilihan rawatan MO disebabkan oleh BRVO adalah suntikan anti-VEGF. VEGF adalah molekul yang terdapat di bahagian belakang mata yang berkaitan dengan keradangan. Anti-VEGF menyekat tindakan VEGF, yang dapat membantu mengurangkan jumlah kerosakan. Merawat MO disebabkan oleh BRVO adalah penting kerana dapat mengelakkan hilang penglihatan.
Ubat anti-VEGF yang paling biasa digunakan adalah:
∙ ranibizumab (Lucentis)
∙ aflibercept (Eylea)
∙ bevacizumab (Avastin)
Apakah keputusan utama ulasan?
Penyelidik Cochrane menemui lapan kajian yang berkaitan. Kajian-kajian ini berlaku di Eropah, Amerika Utara, wilayah Mediterranean Timur dan Asia Timur.
Satu kajian membandingkan anti-VEGF dengan tanpa rawatan (suntikan palsu); tiga kajian membandingkan anti-VEGF dengan jenis rawatan lain (laser); dan empat kajian membandingkan anti-VEGF dengan steroid. Penemuan adalah seperti berikut.
∙ Orang yang dirawat dengan anti-VEGF lebih cenderung mengalami penglihatan yang lebih baik dan kurang bengkak di bahagian belakang mata pada enam bulan selepas rawatan berbanding dengan orang yang tidak dirawat dengan anti-VEGF atau yang dirawat dengan laser atau steroid (bukti kepastian sederhana).
Secara umum, hanya ada bukti kepastian yang sangat rendah mengenai kejadian buruk (bahaya) yang membandingkan rawatan anti-VEGF dengan rawatan lain. Tidak ada kes jangkitan mata (endophthalmitis). Terdapat bukti bahawa orang yang dirawat dengan steroid (disuntikkan ke dalam mata) lebih cenderung mengalami katarak atau tekanan yang meningkat pada mata dibandingkan dengan anti-VEGF.
Rawatan dengan anti-VEGF dikaitkan dengan peningkatan kualiti hidup yang lebih besar (kepastian sederhana).
Adakah ulasan ini terkini?
Penyelidik Cochrane telah mencari kajian yang telah mengeluarkan penerbitan sehingga Jun 2019.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.