Kecederaan endometrium pada wanita yang menjalani persenyawaan in vitro (IVF)

Soalan ulasan

Untuk menilai sama ada selamat dan berkesan untuk melakukan kecederaan endometrium (juga dikenali sebagai calar endometrium), pada wanita yang menjalani persenyawaan in vitro (IVF), termasuk suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI) dan pemindahan embrio beku.

Latar belakang

Pasangan yang menghadapi masalah untuk hamil boleh mendapatkan rawatan kesuburan untuk membantu mereka menjadi hamil, seperti IVF. Dalam kitaran IVF, telur dikumpulkan dari wanita tersebut dan digabungkan dengan sperma di makmal untuk menghasilkan embrio. Embrio dipindahkan ke dalam rahim dengan harapan ia akan menempel dan menghasilkan kehamilan. Penempelan adalah proses di mana embrio menempelkan dirinya ke dalam lapisan rahim; ini adalah langkah pertama untuk mewujudkan kehamilan berjaya. Telah disarankan bahawa kemungkinan penempelan meningkat jika kecederaan endometrium dilakukan sebelum penggantian embrio ke dalam rahim.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 38 kajian klinikal (8915 wanita) yang telah menguji kesan kecederaan endometrium terhadap hasil IVF. Kajian dilakukan pada populasi wanita yang berlainan, dan cara kecederaan endometrium dilakukan juga berbeza antara kajian dari segi instrumen yang digunakan dan waktu prosedur yang berkaitan dengan kitar IVF. Sebilangan besar kajian berkualiti rendah dan berisiko tinggi terhadap bias, dan oleh itu kami hanya melakukan analisis utama termasuk kajian yang tidak berisiko tinggi bias. Dari 38 kajian yang disertakan, hanya lapan yang dimasukkan dalam analisis utama.

Hasil-hasil utama kajian

Tidak jelas sama ada kecederaan endometrium mempengaruhi peluang mempunyai bayi dari IVF. Hasilnya menunjukkan bahawa, jika peluang melahirkan bayi dari IVF biasanya sekitar 27%, maka peluang memiliki bayi ketika menggunakan kaedah kecederaan endometrium sebelum IVF adalah antara kurang dari 27% dan 32%. Begitu juga untuk hasil kehamilan, jika peluang hamil dari IVF diandaikan sekitar 32%, maka peluang kehamilan menggunakan kaedah kecederaan endometrium sebelum IVF berada antara 31% dan 37%.

Kecederaan endometrium nampaknya tidak mempengaruhi kemungkinan keguguran dari IVF. Prosedur kecederaan endometrium menyebabkan kesakitan ringan hingga sederhana dan sejumlah kecil pendarahan vagina, walaupun ini tidak lama. Bukti ini tidak menyokong penggunaan kecederaan endometrium secara rutin bagi wanita yang menjalani IVF.

Satu kajian kecil membandingkan kecederaan endometrium menggunakan dua instrumen yang berbeza dalam kitaran sebelum kitaran IVF. Semua hasil yang dilaporkan untuk kajian ini dinilai sebagai kepastian yang sangat rendah kerana risiko bias, dan oleh itu kami tidak dapat menafsirkan hasil kajian.

Kepastian bukti

Untuk analisis utama, bukti adalah kepastian sederhana. Bukti itu dikurangkan kerana hasilnya tidak tepat, dan konsisten dengan kecederaan endometrium yang tidak memberi kesan, bermanfaat, dan berbahaya untuk peluang hamil atau mengandung.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information