Mesej utama
• Dalam kawasan di mana malaria merupakan masalah serius (kawasan endemik malaria), ramai orang tidak dapat mengakses rawatan yang mereka perlukan.
• Ujian diagnostik pantas untuk mendiagnosis malaria (mRDT) adalah mudah untuk digunakan: ia melibatkan menitis setitik darah ke dalam kaset kecil.
• Dalam konteks program berasaskan komuniti di kawasan endemik malaria, apabila orang yang tidak mempunyai kelayakan penjagaan kesihatan profesional menggunakan mRDT dan bukannya memberikan diagnosis berasaskan tanda dan gejala fizikal (diagnosis klinikal), rawatan malaria bertambah baik.
• Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk memahami kesan mRDT terhadap kekerapan antibiotik dipreskrip.
Bagaimanakah malaria didiagnosis dan dirawat dalam program berasaskan komuniti?
Terdapat rawatan yang berkesan dan selamat untuk merawat malaria (ubat antimalaria, juga dikenali sebagai antimalaria), tetapi ramai orang masih tidak dapat mengakses kepada ubat yang mereka perlukan, terutamanya jika mereka tinggal jauh dari kemudahan kesihatan. Untuk memperbaiki keadaan ini, penduduk tempatan tanpa kelayakan penjagaan kesihatan formal telah dilatih untuk mendiagnosis dan merawat malaria sama ada dengan mengenali tanda dan gejala malaria atau menggunakan mRDT. Mereka ini boleh daripada pekerja kesihatan komuniti atau vendor di kedai ubat bukan farmasi.
Apakah yang kami ingin mengetahui?
Kami menyasarkan untuk membandingkan kesan dua teknik berbeza untuk mendiagnosis malaria (mRDT dan diagnosis klinikal) yang digunakan oleh penduduk tempatan tanpa kelayakan penjagaan kesihatan formal, terhadap rawatan yang diberikan. Kami juga ingin membandingkan penggunaan mRDT dalam komuniti dengan penjagaan rutin yang disediakan di kemudahan kesihatan, seperti hospital, untuk mengetahui pendekatan yang menghasilkan rawatan yang lebih baik untuk orang disyaki malaria.
Apa yang kami lakukan?
Ini adalah kemaskini ulasan Cochrane terbitan terdahulu. Kami mencari pengkalan data atas talian untuk kajian yang membandingkan diagnosis mRDT dengan diagnosis klinikal dalam komuniti, atau diagnosis mRDT serta rawatan dalam komuniti dengan penjagaan kemudahan kesihatan. Kami mengekstrak informasi tentang reka bentuk kajian, orang yang dirawat, jenis pekerja kesihatan tanpa kelayakan perubatan, latihan mereka, mRDT dan rawatan yang digunakan, serta keputusan (termasuk kematian, jumlah orang menghidap malaria atau tanpa malaria yang dirawat dengan antimalaria, dan penggunaan antibiotik). Jika boleh, kami menggabungkan hasil menggunakan perisian statistik.
Apa yang kami dapati?
Kami menjumpai enam kajian dari Afrika, satu dari Myanmar, dan satu dari Afghanistan. Lima kajian membandingkan penggunaan mRDT komuniti dengan diagnosis klinikal malaria komuniti, dan tiga membandingkan penggunaan mRDT komuniti dengan penjagaan kemudahan kesihatan. Lima kajian menggunakan ujian makmal untuk menyemak semula diagnosis komuniti malaria (sama ada mRDT atau klinikal). Semua kecuali satu kajian menawarkan latihan kurang daripada satu minggu kepada kakitangan. Antimalaria yang digunakan kebanyakannya untuk diambil melalui mulut, walaupun dua kajian juga melatih kakitangan untuk memberi ubat kepada kanak-kanak yang sangat sakit dengan memasukkannya ke dalam pantat mereka. Kebanyakan kajian juga melatih kakitangan untuk menghantar orang yang mempunyai keputusan mRDT negatif, orang yang sangat sakit, bayi, dan wanita hamil ke kemudahan kesihatan. Ubat-ubatan itu kadangkala percuma kepada pesakit atau pelanggan. Pelanggan yang terpaksa membayar di kedai ubat selalunya membayar harga yang lebih rendah. mRDT biasanya percuma.
Apabila mRDT digunakan dalam komuniti, jauh lebih sedikit orang yang sebenarnya tidak menghidap malaria menerima antimalaria (kira-kira kekurangan 71 daripada setiap 100 orang). Pekerja kesihatan komuniti kurang berkemungkinan daripada penjual kedai ubat untuk memberikan antimalaria kepada orang yang tidak mempunyai malaria.
Begitu juga, lebih ramai orang yang didiagnosis oleh mRDT (kira-kira 45 lebih daripada setiap 100) mendapat rawatan yang betul: antimalaria jika mereka dipastikan menghidap malaria (dibuktikan melalui ujian makmal), tiada antimalaria jika tidak. Beberapa kajian mendapati bahawa terdapat orang dengan keputusan mRDT negatif (seperti yang dibaca oleh pekerja kesihatan komuniti atau penjual kedai ubat) menerima antimalaria juga. Satu kajian kecil mendapati bahawa sesetengah orang dengan diagnosis klinikal negatif menerima antimalaria. Sebaliknya, kajian lain menjumpai beberapa orang dengan keputusan mRDT positif tidak mendapat antimalaria.
Kami juga mendapati terdapat peningkatan penggunaan antibiotik dalam kumpulan mRDT pada orang dengan keputusan ujian makmal negatif berbanding kepada kumpulan diagnosis klinikal (kira-kira 13 lebih penggunaan antibiotik bagi setiap 100 orang). Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang kesihatan orang ramai atau penggunaan rawatan apabila membandingkan penggunaan mRDT dalam komuniti dengan penjagaan kemudahan kesihatan biasa.
Terdapat sangat sedikit kematian dalam populasi kajian.
Apakah limitasi bukti tersebut?
Kami berkeyakinan sederhana bahawa terdapat kekurangan orang tanpa malaria menerima antimalaria selepas mRDT, dan lebih ramai orang yang didiagnosis dengan mRDT mendapat rawatan yang betul, kerana kajian-kajian yang memberikan keputusan ini termasuk peserta bilangan besar, walaupun terdapat beberapa perbezaan pada kaedah kajian.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 14 September 2021.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my