Intervensi psikologi untuk psikosis dalam kalangan remaja

Soalan ulasan

Adakah intervensi psikologi berkesan dan selamat untuk remaja dengan psikosis? Adakah terdapat perbezaan kesan di antara pelbagai intervensi psikologi?

Latar belakang

Psikosis adalah penyakit mental yang berciri perubahan pemikiran dan persepsi seperti delusi (kepercayaan palsu), halusinasi (melihat atau mendengar perkara yang tidak dilihat atau didengar oleh orang lain) dan boleh berlaku semasa remaja. Apabila ini berlaku, orang muda tersebut perlu berjumpa profesional kesihatan mental yang akan sering mempreskrib ubat. Walau bagaimanapun, bersama dengan ubat-ubatan, remaja dengan psikosis cenderung mendapat manfaat daripada rawatan psikologi yang disesuaikan dengan umur (rawatan bercakap) seperti terapi pemulihan kognitif, pendidikan psiko, terapi keluarga dan psikoterapi kumpulan. Intervensi ini dapat mengatasi keperluan sosial dan psikologi seperti integrasi dengan rakan sebaya dan menangani stigma dan eksklusi. Kami mengulas kesan intervensi ini untuk orang muda dengan psikosis menggunakan data dari kajian rawak terkawal.

Carian

Pakar Maklumat Skizofrenia Cochrane mencari daftar kajian pada Mei 2016 dan Mac 2019 untuk kajian-kajian yang merawak remaja dengan psikosis kepada pelbagai kumpulan rawatan. Kumpulan rawatan boleh merangkumi sama ada intervensi psikologi (dengan atau tanpa rawatan biasa), ubat-ubatan sahaja, rawatan seperti biasa atau intervensi psikologi lain (dengan atau tanpa rawatan biasa).

Kajian ditemui

Ulasan ini memasukkan hanya tujuh kajian yang dilakukan di pelbagai bahagian dunia. Kajian-kajian membandingkan pelbagai intervensi psikologi yang berbeza dengan rawatan seperti biasa atau dengan jenis intervensi psikologi lain, dan melaporkan hasil ukuran yang berbeza, membuatnya sukar untuk membandingkan satu kajian dengan yang lain. Kami berminat dengan kesan rawatan ini terhadap tujuh hasil utama: keadaan global, keadaan mental, kesan buruk, fungsi kognitif, fungsi global, penggunaan perkhidmatan, dan meninggalkan kajian lebih awal. Tiada kajian yang disertakan melaporkan data kesan buruk.

Keputusan

Kesan mutlak intervensi psikologi (PI, membandingkan PI dengan rawatan seperti biasa (TAU))

Analisis laporan data kami menunjukkan terapi pemulihan kognitif membantu meningkatkan memori jangka pendek (fungsi kognitif) tetapi rawatan seperti biasa mungkin lebih baik berbanding CRT untuk memperbaiki keadaan mental. Terapi berkumpulan juga berguna untuk memperbaiki keadaan global. Semua analisis lain untuk hasil utama menunjukkan PI mempunyai sedikit atau tiada kesan berbanding TAU.

Kesan relatif PI (membandingkan satu jenis PI dengan jenis PI lain)

Analisis kami tidak menunjukkan perbezaan sebenar antara pelbagai jenis PI.

Kesimpulan

Sesetengah intervensi psikologi mungkin ada kesan bermanfaat untuk hasil terpilih tetapi, secara keseluruhan, kebanyakan keputusan menunjukkan kesan yang sedikit atau tiada kesan. Walau bagaimanapun, semua keputusan kami adalah berdasarkan data dari sebilangan kecil kajian dengan bilangan peserta yang kecil. Kami juga punyai kebimbangan dengan kaedah-kaedah yang diguna dalam kajian-kajian tersebut. Oleh itu, terdapat banyak ketidakpastian tentang kebolehpercayaan penemuan-penemuan ini. Kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh berdasarkan bukti ini. Kajian rawak terkawal relevan yang dijalankan dengan baik diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information