Peningkatan dos susu harian secara berulang untuk rawatan alahan susu

Sehingga kini, satu-satunya pilihan untuk merawat alahan makanan adalah dengan tegas mengelak pengambilan makanan tertentu dan sentiasa membawa penyuntik epinefrin (Epipen/Twinject) sekiranya berlaku sebarang tindak balas alahan. Makanan seperti susu lembu sangat sukar dielakkan kerana ia terdapat dalam kebanyakan makanan. Kebimbangan berpanjangan sekiranya termakan atau terminum susu lembu dan keresahan berikutan perlunya sentiasa membawa penyuntik memberi kesan negatif terhadap kualiti hidup. Pengambilan susu secara tidak sengaja boleh mengakibatkan tindak balas yang mengancam nyawa. Imunoterapi oral melibatkan pengambilan alergen, susu lembu dalam kes alahan susu, dalam kuantiti yang sangat sedikit pada peringkat awal, dan jumlah ini ditingkatkan secara perlahan-lahan setiap hari sehingga mencapai satu hidangan lengkap susu. Pendekatan ini mungkin akan mengubah cara sistem imun tubuh mengesan alergen, dan seterusnya dapat meningkatkan jumlah susu yang diambil tanpa tindak balas alahan.

Kami mengenal pasti kajian rawak terkawal yang membandingkan imunoterapi oral dengan plasebo atau diet tanpa susu secara berterusan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa yang mempunyai alahan terhadap susu lembu. Lima kajian memenuhi kriteria kemasukan kami. Secara keseluruhannya terdapat 196 peserta (106 dalam kumpulan rawatan dan 90 dalam kawalan), kesemuanya adalah kanak-kanak. Secara umumnya, kualiti kajian adalah rendah.

Memandangkan bilangan kajian yang terlibat adalah kecil dan terdapat masalah dengan cara pelaksanaannya, kajian lanjut adalah diperlukan. Bukti semasa menunjukkan bahawa imunoterapi oral boleh membantu majoriti kanak-kanak yang mempunyai alahan untuk menerima satu hidangan lengkap susu, selama mana mereka terus meminum jumlah ini setiap hari. Namun demikian, tidak diketahui sama ada perlindungan terhadap alahan dapat dikekalkan sekiranya imunoterapi ini dihentikan untuk seketika. Kesan sampingan semasa imunoterapi oral adalah kerap dan kebanyakan pesakit akan mengalami sekurang-kurangnya beberapa gejala ringan. Dalam kajian yang kami sertakan, bagi setiap 11 pesakit yang menerima imunoterapi oral, seorang perlu dirawat dengan suntikan epinefrin pada satu ketika untuk tindak balas alahan yang serius terhadap terapi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information