Rehabilitasi pelbagai disiplin untuk rawatan susulan bagi wanita yang dirawat untuk kanser payudara

Kanser payudara adalah kanser yang paling lazim dalam kalangan wanita di seluruh dunia. Sebilangan besar wanita yang dikenal pasti menghidap kanser payudara menjalani rawatan yang melibatkan pembedahan dan radioterapi atau kemoterapi, atau kedua-duanya. Dengan kemajuan besar dalam perawatan kanser payudara, banyak pesakit masih harus menghadapi kesan sampingan jangka pendek atau jangka panjang dan tekanan psikologi berkaitan dengan penyakit dan rawatan, yang mempunyai kesan besar terhadap kualiti hidup mereka. Rehabilitasi pelbagai disiplin bertujuan untuk menambahbaik hasil bagi wanita tetapi asas bukti keberkesanannya masih belum dapat ditentukan. Program rehabilitasi pelbagai disiplin adalah berbeza dan merangkumi lebih daripada satu intervensi, biasanya dipilih dari intervensi perubatan, senaman, pendidikan, dan kaunseling psikologi dan intervensi sokongan. Ulasan ini menilai kajian-kajian yang menilai kesan rehabilitasi pelbagai disiplin yang teratur semasa rawatan susulan dalam wanita yang dirawat untuk kanser payudara.

Ulasan ini mengenal pasti hanya dua kajian rawak terkawal, yang melibatkan 262 pesakit dengan kanser payudara. Data daripada kajian-kajian tersebut memberikan bukti tahap rendah untuk rehabilitasi pelbagai disiplin dalam menghasilkan hasil jangka pendek pada tahap gangguan (jangkauan pergerakan bahu), penyesuaian psikososial dan kualiti hidup setelah rawatan kanser payudara. Tidak ada kajian yang melaporkan hasil fungsi jangka panjang daripada rawatan tersebut, kesan atas penjaga atau keberkesanan kos program-program tersebut.

Secara keseluruhan, hasil ulasan ini menunjukkan bahawa rehabilitasi pelbagai disiplin tidak berbahaya dan boleh meningkatkan kemampuan fungsi dan kualiti hidup dalam jangka pendek. Ulasan ini turut menekankan kekurangan kajian yang kuat dalam bidang tersebut dan perlunya penyelidikan yang berasaskan kajian berkualiti tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information