Soalan ulasan
Adakah rawatan dengan titisan mata antihistamin dan penstabil sel mast, secara bersendirian atau secara gabungan, berkesan dan selamat bagi mereka yang menghidap konjunktivitis bermusim dan alahan? Ukuran hasil utama adalah simptom mata yang dilaporkan oleh peserta, termasuk gatal-gatal mata, kerengsaan (rasa terbakar), mata berair (penitisan air mata), dan fotofobia (tidak suka cahaya). Kami mendapati 30 kajian.
Latar belakang
Konjunktivitis merujuk kepada keradangan konjunktiva, iaitu tisu nipis yang menutupi sklera (bahagian putih mata). Konjunktivitis alahan bermusim dan saka adalah jenis konjunktivitis alahan yang paling biasa. Walaupun keadaan ini tidak menyebabkan kehilangan penglihatan, ia boleh menyebabkan kegatalan yang teruk dan mata berair. Titisan mata dengan antihistamin atau penstabil sel mast, atau kedua-duanya biasa digunakan.
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga Julai 2014. Di antara 30 kajian yang diulas terdapat 17 perbandingan berbeza, termasuk 4344 peserta dalam lingkungan umur antara 4 dan 85 tahun. Tempoh rawatan adalah satu hingga lapan minggu. Sepuluh daripada 30 kajian telah dibiayai oleh pengeluar ubat (8 sepenuhnya dan 2 dibiayai sebahagiannya); 20 kajian tidak melaporkan sebarang sumber pembiayaan. Terdapat ketidakkonsistenan dalam cara kesan rawatan diukur dan dilaporkan. Secara keseluruhan, risiko bias adalah rendah.
Keputusan utama
Antihistamin topikal dan penstabil sel mast, secara bersendirian atau digabungkan, adalah selamat dan berkesan untuk mengurangkan simptom konjunktivitis alahan bermusim dan saka. Kami menemui bukti yang tidak mencukupi untuk membezakan antihistamin topikal dan penstabil sel mast yang mana paling berkesan.
Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my