Soalan ulasan
Apakah faedah dan kemudaratan pelbagai gas untuk insuflasi (inflasi dengan gas) rongga perut untuk membolehkan akses lebih mudah kepada organ semasa pembedahan perut laparoskopi (lubang kunci)?
Latar belakang
Pembedahan laparoskopi kini dilakukan secara meluas untuk merawat pelbagai penyakit perut. Gas yang ideal untuk insuflasi rongga perut, meningkatkan kerja dan ruang melihat, hendaklah murah, tidak berwarna, tidak mudah terbakar, tidak meletup, mudah dikeluarkan oleh badan, dan tidak toksik kepada peserta. Pada masa ini, karbon dioksida adalah gas yang paling kerap digunakan untuk tujuan ini. Walau bagaimanapun, penggunaan karbon dioksida boleh menyebabkan komplikasi jantung atau paru-paru. Jadi, gas lain telah dicadangkan sebagai alternatif kepada karbon dioksida.
Ciri-ciri kajian
Kami telah mencari untuk segala kajian yang berkaitan sehingga Oktober 2021.
Kami mengenal pasti 10 kajian klinikal dengan 583 peserta, di mana tiga kajian (260 peserta) membandingkan nitrus oksida (gas ketawa) dengan karbon dioksida, lima kajian (177 peserta) membandingkan helium dengan karbon dioksida, dan satu kajian (146 peserta) membandingkan udara bilik dengan karbon dioksida. Kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat, Australia, China, Finland, Iran, dan Belanda. Purata umur peserta adalah berkisar dari 19 hingga 62 tahun.
Sumber pembiayaan kajian
Dua daripada 10 kajian yang disertakan telah ditaja oleh geran bukan komersial. Lapan kajian yang lain tidak melaporkan sumber dana.
Keputusan utama
Kami tidak tahu sama ada nitrus oksida, helium dan udara bilik adalah lebih baik, setara, atau lebih rendah daripada karbon dioksida dalam bilangan individu yang mengalami komplikasi jantung atau paru-paru, komplikasi pembedahan atau kejadian serius yang tidak diingini.
Oleh kerana beberapa peserta termasuk dalam ulasan, keselamatan menggunakan nitrus oksida, helium, atau udara bilik tidak diketahui.
Kualiti bukti
Secara keseluruhunannya, kualiti bukti bagi ujian adalah sangat rendah. Oleh itu, kajian masa depan yang direka dengan baik yang memeriksa komplikasi, kemudaratan, kualiti hidup dan kesakitan amat diperlukan.
Diterjemahkan oleh Cheryl Chan Zhi Ying (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my