Membandingkan rawatan pneumonia tidak teruk, dalam kalangan kanak-kanak berumur 2 hingga 59 bulan dengan antibiotik dan tanpa antibiotik

Soalan ulasan
Kami cuba mengenal pasti sama ada terdapat perbezaan dalam hasil untuk kanak-kanak berumur 2 hingga 59 bulan dengan pneumonia dan semput yang tidak teruk, dirawat dengan atau tanpa antibiotik.

Latar belakang
Pneumonia adalah jangkitan paru-paru. Dalam kalangan kanak-kanak, ia adalah salah satu punca utama kematian di seluruh dunia. Pneumonia boleh diklasifikasi mengikut garis panduan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO). Klasifikasi termasuk penilaian tanda dan gejala klinikal tertentu, keterukan penyakit dan rawatannya mengikut keterukan. Untuk pneumonia yang tidak teruk, WHO mengesyorkan rawatan dengan antibiotik oral. Kami mengguna takrifan pneumonia tidak teruk WHO 2014 untuk ulasan ini: episod batuk akut atau kesukaran bernafas, digabung dengan pernafasan cepat dan ‘indrawing’ dada.

Lebih lazim, pneumonia adalah disebabkan oleh virus, memerlukan penjagaan sokongan dan bukannya rawatan antibiotik; walau bagaimanapun, pneumonia yang disebabkan oleh bakteria perlu dirawat dengan antibiotik untuk mengelakkan komplikasi. Memandangkan tiada cara jelas untuk membezakan dengan cepat organisme mana yang sebenar menyebabkan pneumonia, adalah dianggap selamat untuk memberi antibiotik. Walau bagaimanapun, ini boleh membawa kepada rintangan antibiotik dan menghadkan penggunaan antibiotik untuk jangkitan masa depan. Persoalannya ialah sama ada penggunaan antibiotik adalah wajar untuk pneunomia yang tidak teruk.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini hingga 23 Disember 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami sertakan tiga kajian (3256 kanak-kanak). Kajian dijalankan di empat hospital di tiga bandar di Pakistan (Islamabad, Lahore dan Rawalpindi), dan di jabatan pesakit luar hospital di India dan Malawi. Kanak-kanak telah dirawat dengan amoxicillin tiga hari (antibiotik) atau plasebo, dan disusul selama dua minggu. Satu kajian sedang menunggu klasifikasi.

Sumber pembiayaan kajian

Kajian yang disertakan disokong oleh USAID melalui INCLEN dan IndiaClen; Sel Penyelidikan ARI, Hospital Kanak-Kanak, Institut Sains Perubatan Pakistan, Islamabad, Pakistan, dan geran daripada Yayasan Bill & Melinda Gates.

Keputusan utama

Data terhad menunjukkan pengurangan 20% dalam kegagalan rawatan, walau bagaimanapun, tiada impak dilihat dalam penyembuhan klinikal, relaps dan kemudaratan rawatan. Tiada kematian dilaporkan dalam kedua-dua kumpulan. Ulasan kami tidak mempunyai cukup bukti untuk menyokong atau mencabar untuk terus mengguna antibiotik bagi rawatan pneumonia yang tidak teruk.

Kepastian bukti

Kepastian bukti untuk penawar klinikal adalah sederhana. Kepastian bukti untuk kegagalan rawatan, relaps dan kemudaratan rawatan adalah rendah, disebabkan penurunan gred untuk ketidaktepatan dan risiko bias.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Manipal University College Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information