Saringan orang berumur lebih 65 tahun untuk pemfibrilan atrium meningkatkan kadar pengesanan

Latar belakang

Pemfibrilan atrium adalah satu aritmia jantung lazim yang membuat denyut jantung cepat dan tidak regular. Ini boleh berlaku untuk episod ringkas atau mungkin berterusan. Gejala penyakit ini termasuklah palpitasi jantung, sakit dada, sesak nafas, pening kepala dan fatig. Keadaan ini jarang dalam kalangan berumur kurang dari 40 tahun, tetapi lebih lazim dalam kalangan orang meningkat usia. Bukan semua orang dengan pemfibrilan atrium mengalami gejala, oleh itu sesetengah orang tidak sedar mereka menghidapnya; yang lain mungkin mengalami gejala ringan yang tidak dikaitkan dengan penyakit ini. Pemfibrilan atrium menghalang aliran darah yang efisien ke jantung, menyebabkan lebih risiko pembentukan klot. Jika klot meninggalkan jantung, ia boleh menyumbat salur darah yang membekal darah ke otak, menyebabkan strok. Rawatan dengan ubat antikoagulan direka untuk mencegah pembentukan klot darah dan mengurangkan lebih 60% risiko strok.

Soalan ulasan

Untuk sesuatu program saringan pemfibrilan atrium bermanfaat, ia perlu meningkatkan kadar pengesanan dan memberi manfaat kepada mereka yang dikenalpasti bermasalah ini melalui saringan. Matlamat ulasan ini adalah untuk menilai bahagian pertama soalan ini - untuk mengetahui sama ada saringan meningkatkan bilangan diagnosis baharu pemfibrilan atrium berbanding amalan biasa, di mana orang didiagnos apabila mereka bertemu ahli profesional kesihatan dengan gejala atau faktor risiko yang menjurus kepada ujian. Ulasan ini juga menilai keselamatan dan kadar penyertaan saringan serta kos.

Keputusan

Bukti adalah terkini hiingga November 2015. Ulasan ini mengenalpasti satu kajian yang memenuhi kriteria kemasukan. Kajian ini menilai saringan sistematik, di mana setiap orang berusia lebih 65 tahun ditawarkan ujian elektrokardiogram (ECG), dan saringan oportunistik, di mana nadi peserta berusia lebih 65 tahun diperiksa ketika mereka mengunjungi doktor umum untuk sebarang tujuan lalu mereka ditawarkan ECG apabila nadi tidak regular dikesan. Bukti berkualiti sederhana menunjukkan kedua-dua program saringan meningkatkan kadar pengesanan kes-kes pemfibrilan atrium baharu berbanding amalan biasa. Saringan dilihat lebih berkesan dalam kalangan lelaki berbanding wanita, tetapi tiada maklumat disediakan tentang keberkesanannya dalam pelbagai kumpulan etnik atau kumpulan sosioekonomi. Oleh kerana hanya satu kajian didapati, tidak mungkin untuk membanding keberkesanan saringan dalam pelbagai persekitaran. Kadar penyertaan saringan adalah lebih tinggi bagi saringan sistematik berbanding saringan oportunistik, dan dalam kedua-dua intervensi, penyertaan adalah lebih tinggi dalam kalangan lelaki dan golongan berumur 65 hingga 74 tahun berbanding golongan berusia lebih 75 tahun. Tiada sebarang isu keselamatan atau komplikasi dilaporkan. Dari sudut pandang penyedia perkhidmatan kesihatan, saringan sistematik adalah lebih mahal daripada saringan oportunistik. Walau bagaimanapun, oleh kerana semua keputusan adalah berdasarkan satu kajian tunggal, perlu berhati-hati untuk mengaplikasinya di luar persekitaran (penjagaan primer UK) dan populasi (lebih 65 tahun) kajian ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Abu Emmil Qawarizmi Bin Abu Sofian. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Koleh Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information