Latar belakang
Penulis ulasan Cochrane mengkaji bukti tentang endometriosis daripada ulasan-ulasan sistematik Cochrane yang diterbitkan dalam Perpustakaan Cochrane. Kami bertujuan meringkaskan bukti tentang pilihan rawatan yang ada kepada wanita dengan kesakitan, kurang subur, atau kedua-duanya, yang berkaitan dengan endometriosis yang telah didiagnos secara klinikal.
Ciri-ciri kajian
Kami melibatkan 17 ulasan sistematik Cochrane. Empat belas melaporkan cara-cara melegakan kesakitan dan lapan melaporkan hasil-hasil kesuburan. Semua ulasan adalah berkualiti tinggi. Kualiti bukti untuk perbandingan dan hasil tertentu adalah berkisar dari sangat rendah hingga sederhana, oleh kerana batasan dalam kajian utama, ketidakkonsistenan antara kajian dan ketidaktepatan dalam penemuan.
Keputusan utama
Beberapa intervensi kelihatan berkesan dalam mengurangkan kesakitan dalam kalangan wanita dengan endometriosis. Ini merupakan analog pelepas hormon gonadotrofin (GnRH) apabila dibandingkan dengan sham, sistem pelepas levonorgestrel intrarahim (LNG-IUD) berbanding dengan pengurusan berjangka, danazol berbanding dengan sham, dan progestagen dan anti-progestagen berbanding dengan sham. Intervensi pembedahan laparoskopik juga kelihatan berkesan untuk kesakitan.
Dalam kalangan wanita dengan endometriosis yang menjalani reproduksi berbantu, tiga bulan rawatan dengan agonis GnRH telah meningkatkan kadar kehamilan. Pembedahan pengasingan telah meningkatkan kadar kehamilan spontan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan selepas pembedahan berbanding dengan pembedahan pembuangan. Pembedahan laparoskopik meningkatkan kadar kelahiran hidup dan kehamilan berbanding dengan laparoskopi diagnostik sahaja. Tiada bukti bahawa rawatan perubatan meningkatkan kadar kehamilan klinikal.
Bukti tentang bahaya adalah sedikit tetapi analog GnRH dan danazol dikaitkan dengan kadar kesan buruk yang lebih tinggi berbanding sham, dan pengumpulan progestagen dikaitkan dengan kadar lebih tinggi berbanding rawatan lain.
Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my