Mesej utama
- Menambah zat besi pada bahan perencah/perasa mungkin sedikit menambahbaik status zat besi dan mengurangkan kekurangan zat besi. Apabila zat besi ditambahkan dengan mikronutrien lain, ia mungkin mengurangkan anemia. Kesan sampingan tidak dilaporkan.
- Terdapat banyak perbezaan antara kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini, menjadikannya semakin sukar untuk membuat kesimpulan yang utuh. Kesan pengukuhan perencah dan perasa dengan zat besi harus terus diteliti dalam populasi yang memakannya menerusi kajian yang direka secara mantap.
Apakah itu anemia?
Kekurangan zat besi adalah salah satu kekurangan zat yang paling berleluasa di seluruh dunia dan merupakan salah satu penyumbang utama beban penyakit sejagat. Pelbagai faktor menyebabkan anemia, termasuk pengambilan zat besi yang tidak mencukupi (merupakan penyebab anemia yang paling kerap), dan ia menjejaskan kira-kira 1.8 bilion orang di seluruh dunia. Secara keseluruhannya, negara yang berpendapatan rendah mempunyai lebih ramai penghidap anemia berbanding negara yang berpendapatan tinggi. Kekurangan zat besi dan anemia mempunyai beberapa akibat yang boleh menjejaskan perkembangan fizikal dan kognitif kanak-kanak, dan daya pengeluaran kerja dan kemandirian ekonomi pada orang dewasa. Pengukuhan perencah atau perasa menggunakan zat besi mungkin merupakan pendekatan yang berguna dan kos efektif untuk mengurangkan masalah kekurangan zat besi. Setakat ini, belum ada penaksiran sistematik tentang keselamatan dan keberkesanan intervensi ini untuk memaklumkan penggubalan dasar.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Jika pengukuhan perencah dan perasa dengan zat besi sahaja atau menggunakan zat besi berserta mikronutrien lain dapat menambahbaik tahap zat besi dalam populasi umum, khususnya dari segi:
- anemia;
- kepekatan hemoglobin;
- kekurangan zat besi;
- status zat besi (termasuk kandungan feritin, ketepuan transferrin dan lain).
Kami juga ingin mengetahui sama ada pengambilan perencah/perasa yang diperkukuhkan dengan zat besi dikaitkan dengan sebarang kesan sampingan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang memberikan perencah/perasa yang diperkukuhkan dengan zat besi kepada satu kumpulan, dan perencah/perasa yang tidak diperkukuhkan dengan zat besi kepada yang lain. Kami membanding dan merumus keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan ciri-ciri kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami mengenal pasti 16 kajian yang melibatkan 18,410 orang peserta di negara yang berpendapatan sederhana, kebanyakan dalam sekolah atau komuniti, dengan tempoh kajian berkisar tiga bulan hingga dua tahun. Jenis perencah/perasa diperkukuh dengan zat besi termasuklah garam, sos ikan, kicap, dan serbuk perasa. Dos zat besi yang diterima oleh peserta berkisar dari 4.4mg hingga 55 mg/hari.
Berbanding dengan perencah/perasa yang tidak diperkukuhkan dengan zat besi, bahan yang diperkukuhkan dengan zat besi mungkin menambahbaik sedikit kekurangan zat besi. Kami tidak pasti sama ada ia mengurangkan anemia, meningkatkan hemoglobin, atau ukuran status zat besi yang lain. Perencah/perasa yang diperkukuhkan dengan zat besi serta mikronutrien lain mungkin mengurangkan anemia; namun kami tidak pasti sama ada ia dapat meningkatkan tahap kepekatan hemoglobin atau paras feritin. Ia mungkin menambahbaik kekurangan zat besi dan keupayaan penambahan zat besi keseluruhan. Tiada kajian melaporkan kesan buruk. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan kesan perencah/perasa yang diperkukuhkan dengan zat besi terhadap kesihatan seperti kejadian malaria, pertumbuhan dan perkembangan serta sebarang kesan sampingan yang mungkin.
Apakah batasan bukti?
Tahap keyakinan kami terhadap bukti sangat rendah hingga sederhana; beberapa faktor mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Pertama sekali, kami meneliti batasan dalam beberapa kajian yang dijalankan berkenaan dengan cara mencari peserta kajian untuk diberikan intervensi (ini bermaksud perbezaan antara kumpulan mungkin disebabkan oleh perbezaan antara peserta dan bukannya antara rawatan). Keduanya, peserta dalam beberapa kajian mungkin telah mengetahui jenis rawatan yang mereka peroleh. Selain itu, tidak semua kajian memberikan semua data yang kami minati, dan keputusan adalah tidak konsisten merentasi kajian yang berbeza. Akhir sekali, beberapa kajian adalah kecil. Keputusan kajian lanjutan mungkin berbeza dengan keputusan ulasan ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2023.
Apakah maksudnya
Kami menilai bukti ulasan ini sebagai berkepastian sangat rendah hingga sederhana, bermakna kami tidak pasti tentang kesan perencah/perasa dengan tambahan zat besi terhadap pengurangan anemia dan kekurangan zat besi dalam manusia.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Nathanae Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).