Soalan ulasan
Untuk membandingkan kesan bahan bebas logam dengan bahan seramik logam atau bahan konvensional seluruh logam untuk rawatan prostodontik bertujuan memulihkan gigi yang rosak teruk atau mengganti gigi yang hilang.
Latar belakang
Rawatan prostodontik tetap adalah prosedur rutin di mana satu atau lebih gigi yang hilang atau rosak teruk diganti dengan pengganti tiruan. Bahan yang diguna untuk membuat prostesis mungkin menggunakan rangka logam dengan venir bahan estetik (seramik) atau keseluruhan logam atau ia boleh dibuat dengan pelbagai struktur bukan logam (bahan bebas logam). Masih tidak pasti tentang prestasi bahan bebas logam untuk jangka masa panjang berbanding korona dan jambatan berasaskan logam.
Ciri-ciri kajian
Ulasan kajian sedia ada ini dibuat oleh para penulis Kesihatan Oral Cochrane dan bukti adalah terkini sehingga 3 Mei 2017. Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian rawak terkawal (kajian di mana orang dipilih secara rawak ke dalam satu daripada dua kumpulan rawatan) membandingkan pelbagai jenis bahan untuk rawatan prostodontik dalam kalangan orang yang disusul untuk sekurang-kurangnya satu tahun.
Tiga daripada sembilan kajian yang dimasukkan dilaksanakan di Jerman, satu di Sweden, satu di Sepanyol, satu di Switzerland dan AS, satu di Denmark, dan satu di Itali. Semua kajian tersebut dilaksanakan di satu pusat klinik pergigian universiti dan mempunyai reka bentuk kajian kumpulan selari. Semua kajian tersebut menerima sokongan industri.
Keputusan utama
Sorotan ini memasukkan sembilan kajian dengan 448 peserta di mana sejumlah 224 korona dan 132 jambatan gigi asli, dan sejumlah 74 korona dan 25 jambatan di atas implan digunakan. Setiap kajian menggunakan jenis intervensi yang berlainan. Tempoh kajian-kajian tersebut adalah sehingga 10 tahun tetapi melibatkan bilangan peserta yang kecil dan dinilai berisiko berat sebelah sebagai tidak jelas atau tinggi. Berdasarkan kajian-kajian tersebut, pada masa ini masih tidak ada bukti mencukupi yang boleh dipercayai untuk menyokong bahan mana yang lebih berkesan.
Kualiti bukti
Dua kajian berisiko berat sebelah tidak jelas dan tujuh kajian berisiko berat sebelah tinggi. Keseluruhan kualiti bukti adalah rendah, oleh itu keputusan-keputusan kajian tersebut perlu ditafsir dengan berhati-hati. Penyelidikan masa depan sepatutnya bertujuan memberi lebih maklumat yang boleh dipercayai yang dapat membantu pakar klinikal memutuskan bahan yang sesuai untuk rawatan prostodontik tetap dengan mengambil kira situasi individu dan pilihan pesakit.
Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my