Teknologi bantu untuk sokongan memori dalam demensia

Soalan ulasan

Kami ingin tahu dari ulasan bukti sama ada Teknologi Bantu boleh membantu orang dengan demensia mengatasi beberapa kesan masalah memori mereka.

Latar belakang

Demensia menyebabkan masalah memori yang menyukarkan aktiviti harian, contohnya memasak, mengingat janji-temu, mengambil ubat. Masalah memori yang dialami boleh memberi impak negatif yang besar kepada orang dengan demensia, dan mungkin menyebabkan kekeliruan, kegelisahan, malu, atau kemurungan. Kekurangan upaya untuk melakukan aktiviti harian boleh menyebabkan stres kepada penjaga yang bimbang tentang keselamatan dan kesejahteraan seseorang. Pelbagai peranti elektronik - sering dirujuk sebagai Teknologi Bantu (AT - diguna sepanjang ulasan ini), dan kadangkala sebagai Teknologi Bantu Elektronik (EAT) - telah dibangunkan untuk menyokong orang dengan demensia. Peranti tersebut boleh dibahagikan kepada empat kategori yang menawarkan sokongan dengan maklumat umum dan peribadi (contohnya carta digital sosial); sokongan praktikal dengan masalah disebabkan oleh simptom demensia, terutamanya hilang memori (contohnya kotak pendispens pil elektronik, diari elektronik); sokongan dengan kontak sosial dan peneman (contohnya telefon bergambar, robot ‘haiwan peliharaan’ interaktif); dan sokongan risiko terhadap kesihatan dan keselamatan (contohnya peranti penjejakan, sensor jatuh). Dalam ulasan ini, kami menumpu kepada peranti yang bertujuan membantu orang mengurus masalah memori mereka. Kami ingin tahu sama ada AT berkesan membantu orang yang bermasalah memori akibat demensia untuk menjalankan aktiviti harian mereka, dan sama ada ia membuat mereka kurang bergantung kepada orang lain, memperbaiki kualiti hidup mereka atau memberi kesan kepada kemasukan ke institusi penjagaan. Kami juga ingin tahu jika ia memberi sebarang impak kepada keluarga dan penjaga berbayar.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari secara sistematik semua kajian penyelidikan yang menilai AT dengan memperuntukkan orang dengan demensia secara rawak kepada peranti AT atau ‘penjagaan biasa’ atau penyelesaian bukan teknologi untuk menyokong memori dan seterusnya membandingkan hasil-hasil. Carian kami menyertakan semua bukti sedia ada sehingga 10 November 2016.

Keputusan utama

Kami tidak menemui kajian yang memenuhi kriteria kami.

Kualiti bukti

Ulasan ini mengenal pasti banyak literatur tentang pembangunan AT, termasuk laporan penyelidik yang bekerja dengan orang dengan demensia dan penjaga mereka untuk menentukan jenis dan reka bentuk AT yang mungkin berguna. Terdapat juga banyak panduan ditulis untuk profesional kesihatan dan bakal pengguna AT. Kami menemui beberapa kajian kecil yang telah menguji keberkesanan peranti AT terpilih, tetapi kaedah yang digunakan adalah tidak cukup berkualiti tinggi untuk memenuhi kriteria ulasan ini. Oleh itu kami tidak pasti buat masa ini sama ada AT boleh membantu atau tidak orang dengan demensia mengurus masalah memori mereka. Kami percaya lebih banyak penyelidikan perlu dibuat dalam bidang ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information