Mamografi diikuti dengan ultrasonografi berbanding dengan mamografi sahaja untuk saringan kanser payudara di kalangan wanita berisiko sederhana untuk kanser payudara

Apakah isunya?

Kami memeriksa bukti yang menyokong dan menentang penambahan saringan ultrasonografi kepada ujian mamogram bagi wanita dengan risiko sederhana untuk kanser payudara.

Mengapakah ia penting?

Adalah penting untuk menimbang kebaikan dan keburukan saringan kerana peningkatan pengesanan tumor melalui saringan tidak semestinya bermaksud lebih ramai wanita yang dapat diselamatkan. Bukti menunjukkan bahawa mamografi di kalangan wanita berusia antara 50 hingga 69 tahun yang sihat dapat mengesan kanser payudara lebih awal dan mengurangkan risiko kematian akibat kanser payudara. Walau bagaimanapun, mamografi bukanlah alat yang sempurna untuk mengesan kanser payudara dan ia gagal mengesan tumor pada sesetengah wanita, terutamanya mereka yang mempunyai payudara yang pejal. Dalam kalangan wanita ini, tumor sukar dibezakan daripada tisu payudara yang normal oleh mamogram. Bagi wanita yang mempunyai payudara yang tidak padat, ultrasonografi sering dilakukan secara rutin sebagai tambahan kepada mamografi untuk meningkatkan sensitiviti saringan.

Jurang dalam bukti: tiada kajian yang memeriksa kesan saringan ultrasonografi tambahan terhadap kematian

Untuk menentukan sama ada saringan rutin dengan mamografi dan ultrasonografi adalah bermanfaat, satu kajian (sebaik-baiknya ujian terkawal secara rawak (randomised controlled trial, RCT), iaitu kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan sama ada perkembangan penyakit dan kadar kematian berbeza antara kaedah yang penting. Tiada antara kajian yang menyusuli wanita selama satu hingga tiga tahun, tempoh yang cukup lama untuk menentukan sama ada lebih banyak kes kanser yang dikesan semasa saringan dengan mamografi dan ultrasonografi yang membawa kepada pengurangan penyakit dan kematian.

Berapa banyak lagi kanser yang dikesan melalui saringan mamografi dengan ultrasonografi tambahan?

Kami menemui satu RCT dan tujuh kajian kohort (sejenis kajian di mana sekumpulan peserta disusuli untuk suatu tempoh masa) yang menganalisa sama ada gabungan mamografi dan ultrasonografi adalah lebih berkesan berbanding mamografi sahaja untuk pengesanan awal kanser payudara di kalangan wanita yang berisiko sederhana untuk kanser payudara yang tidak mempunyai simptom.

Kaedah RCT adalah mantap, dan kajian ini mewakili bukti terbaik yang ada pada masa ini. Kajian melibatkan 72,717 wanita berisiko sederhana untuk kanser payudara, 58% daripadanya mempunyai tisu payudara yang padat. Selepas dua tahun susulan, wanita yang disaring sekali dengan gabungan mamografi dan ultrasonografi mempunyai tambahan dua lagi kanser payudara yang dikesan untuk setiap 1000 wanita berbanding wanita yang disaring dengan mamografi sahaja (5.0 berbanding 3.2 setiap 1000 wanita yang disaring).

Sejauh manakah keberkesanan saringan ultrasonografi tambahan bagi wanita dengan payudara yang padat atau tidak padat?

Penerbitan baru-baru ini menganalisa sub-kumpulan daripada RCT dengan 19,213 wanita, dan melaporkan keputusan secara berasingan untuk wanita dengan payudara padat dan tidak padat.

Bagi wanita yang mempunyai payudara yang padat, tiga lagi kanser payudara untuk setiap 1000 wanita telah dikesan dengan mamografi dan ultrasonografi berbanding dengan mamografi sahaja. Penemuan ini disokong oleh bukti yang nyata: gabungan keputusan tiga kajian kohort yang memeriksa sejumlah 50,327 wanita dengan payudara yang padat mendapati tambahan kanser di kalangan wanita dengan payudara yang padat apabila saringan mamografi ditambah dengan ultrasonografi. Bagi wanita dengan payudara yang tidak padat, keputusan dua kajian kohort dengan data daripada 40,636 wanita adalah tidak konsisten dengan RCT dan mendapati bahawa tiada perbezaan ketara dalam jumlah kes kanser antara dua kaedah saringan tersebut.

Berapakah bilangan kes kanser yang invasif dan melibatkan nodus limfa?

Dalam RCT, 71% tumor yang dikenal pasti semasa saringan diklasifikasikan sebagai invasif, dengan tiada perbezaan ketara antara dua kumpulan ini. Walau bagaimanapun, keputusan untuk perbezaan antara dua kumpulan ini adalah tidak tepat, dan keyakinan kami terhadap keputusan adalah rendah. Bagi wanita dengan kanser invasif yang ditemui dengan gabungan saringan mamografi dan ultrasonografi, kes dimana nodus limfa telah tejejas lebih kurang berbanding kumpulan yang disaring dengan mamografi sahaja (18% (23 daripada 128) berbanding 34% (29 daripada 86)).

Kanser selingan: kes kanser yang dikesan dalam tempoh masa antara saringan

RCT juga menunjukkan bahawa kanser yang tidak ditemui semasa pemeriksaan saringan (tetapi dijumpai dalam tempoh masa antara pemeriksaan) berlaku kurang kerap apabila saringan dilakukan dengan gabungan mamografi dan ultrasonografi (5 berbanding 10 setiap 10,000) berbanding apabila saringan dilakukan dengan mamografi sahaja.

Kadar positif palsu dan negatif palsu

Kadar keputusan negatif palsu yang menunjukkan keputusan negatif apabila kanser wujud, adalah lebih rendah (9% berbanding 23%) apabila ultrasonografi dilakukan sebagai tambahan kepada mamografi. Walau bagaimanapun, gabungan mamografi dan ultrasonografi menghasilkan lebih banyak kes positif palsu daripada mamografi sahaja di kalangan wanita tanpa kanser: 123 berbanding 86 untuk setiap 1000 wanita. Selain itu, daripada 1000 wanita yang disaring dengan gabungan mamografi dan ultrasonografi, lebih 27 orang memerlukan biopsi berbanding dengan mamografi sahaja.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian yang diterbitkan sehingga Mei 2021.

Kesimpulan

Adalah tidak jelas sama ada atau setakat mana ultrasonografi sebagai tambahan kepada saringan mamografi boleh mengurangkan risiko kematian akibat kanser payudara, oleh itu ultrasonografi tidak patut digunakan secara rutin. Untuk wanita membuat keputusan berdasarkan maklumat yang teliti, kami perlu menilai sama ada beberapa kanser tambahan yang boleh dikesan dengan ultrasonografi benar-benar menyebabkan penurunan dalam penyakit kanser payudara dan kematian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information