Mengapakah soalan ini penting?
Klaudikasi berselang adalah istilah perubatan untuk sakit di bahagian bawah kaki (atau kedua-dua kaki) yang terjadi semasa bersenam (misalnya, berjalan) dan biasanya hilang setelah berehat beberapa minit. Kesakitan ini dihasilkan oleh sekatan aliran darah ke otot-otot kaki. Sekatan aliran darah ini disebabkan oleh penyumbatan sebahagian arteri (saluran yang menyampaikan darah kaya oksigen ke seluruh badan) oleh penumpukan deposit lemak (aterosklerosis). Ini mengakibatkan kekurangan bekalan oksigen yang sampai ke otot-otot kaki.
Garis panduan antarabangsa mengesyorkan agar mereka yang mempunyai klaudikasi berselang harus bersenam dengan berjalan kaki (contohnya, di atas treadmill) sambil diawasi oleh ahli terapi fizikal atau senaman. Matlamat latihan-latihan ini adalah untuk meningkatkan jarak yang dapat mereka berjalan, dan untuk mengurangkan kesan klaudikasi berselang terhadap kualiti hidup mereka.
Program berjalan yang diawasi bukan satu-satunya jenis latihan yang diawasi yang tersedia. Terdapat pilihan-pilihan lain, seperti latihan kekuatan, berjalan kaki Nordik (berjalan dengan tiang yang direka khas untuk melatih bahagian atas dan juga bawah badan) atau berbasikal. Untuk mengetahui setakat manakah keberkesanan jenis-jenis program latihan yang diawasi yang lain apabila dibandingkan dengan program berjalan yang diawasi, kami meninjau semula bukti dari kajian-kajian penyelidikan.
Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti
Pertama, kami mencari semua kajian yang relevan dalam kesusasteraan perubatan. Kami kemudiannya membandingkan hasil-hasilnya, dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai kejituan bukti itu. Kami mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian-kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan di seluruh kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami mengkategorikan bukti sebagai kepastian yang sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.
Apa yang kami temui
Kami menjumpai sepuluh kajian dengan jumlah keseluruhan 527 orang menghidap klaudikasi berselang. Kajian-kajian tersebut membandingkan program berjalan yang diawasi dengan:
* senaman untuk menguatkan otot kaki (empat kajian);
* Berjalan kaki Nordik (tiga kajian);
* berbasikal (satu kajian);
ergometri lengan (mengayuh dengan tangan pada mesin senaman - satu kajian);
* gabungan pelbagai jenis latihan (empat kajian).
Program-program tersebut berlangsung antara enam dan 24 minggu.
Bukti menunjukkan bahawa mungkin ada sedikit atau tidak ada perbezaan antara berjalan kaki yang diawasi dan jenis-jenis latihan yang diawasi lain dari segi:
* purata jarak maksimum yang dapat dilalui mereka setelah 12 minggu bersenam, atau setelah mereka menyelesaikan program latihan;
* purata jarak yang mereka boleh berjalan tanpa berasa sakit setelah 12 minggu bersenam, atau setelah mereka menyelesaikan program senaman; atau
* kecacatan (selepas 12 hingga 24 minggu bersenam).
Kami tidak tahu jika terdapat sebarang perbezaan bagi kualiti hidup, kerana kajian-kajian yang menyelidiki ini menggunakan alat pengukuran yang berbeza untuk menilainya, dan kami tidak dapat membandingkan hasilnya.
Apakah maksudnya
Ulasan ini mencadangkan bahawa berjalan kaki yang diawasi dan jenis-jenis lain program senaman yang diawasi mungkin mempunyai kesan yang sama terhadap sejauh mana orang dengan klaudikasi berselang boleh berjalan, dan sejauh mana mereka dapat berjalan tanpa rasa sakit. Namun, keyakinan kami terhadap penemuan ini adalah terhad, terutamanya kerana:
* kajian-kajian yang kami tinjau semula adalah kecil;
* jenis-jenis latihan berjalan kaki yang diawasi yang telah kami nilai berbeza-beza antara setiap kajian; dan
* kebimbangan mengenai bagaimana beberapa kajian telah dilakukan.
Kajian-kajian pada masa depan yang menggunakan kaedah yang kuat dan melibatkan ramai orang adalah diperlukan untuk memberikan bukti yang lebih kuat bagi membandingkan pelbagai jenis program latihan yang diawasi untuk klaudikasi berselang.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Bukti dalam Cochrane Review ini adalah terkini sehingga Mac 2019.
Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidi ). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my