Arus elektrik terus ke otak untuk memperbaik hasil rehabilitasi

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti kesan arus elektrik terus ke otak (stimulasi arus terus transkranial, tDCS) untuk mengurangkan gangguan aktiviti kehidupan seharian (ADL), fungsi tangan dan kaki, kekuatan otot dan kebolehan kognitif (termasuk pengabaian ruang), keciciran dan peristiwa buruk dalam kalangan orang selepas strok.

Latar belakang

Strok adalah salah satu penyebab utama kehilangan upaya di seluruh dunia. Kebanyakan strok terjadi apabila klot darah menyekat saluran darah ke otak. Tanpa bekalan darah yang secukupnya, otak mengalami kerosakan dengan cepat dan kerosakan ini boleh kekal. Kerosakan ini sering menyebabkan gangguan fungsi ADL, motor dan kognitif dalam kalangan mangsa strok. Menurut orang dengan strok, penjaga mereka dan ahli profesional kesihatan, memperbaik kemampuan kognitif selepas strok adalah prioriti penyelidikan nombor satu dalam bidang perubatan ini. Oleh itu, rehabilitasi neurologi, termasuk strategi latihan yang berkesan, diperlukan untuk memudahkan pemulihan dan mengurangkan beban strok. Terapi yang disesuaikan dengan keperluan pesakit dan penjaga sangat penting. Strategi rehabilitasi semasa mempunyai keberkesanan yang terhad dalam memperbaiki gangguan-gangguan ini. Salah satu kemungkinan untuk meningkatkan kesan rehabilitasi adalah penambahan stimulasi otak tanpa merosakkan kulit, iaitu melalui tDCS. Teknik ini dapat mengubah cara otak berfungsi dan boleh diguna untuk mengurangkan gangguan ADL dan fungsi. Walau bagaimanapun, keberkesanan intervensi ini dalam memperbaiki hasil rehabilitasi masih belum diketahui.

Tarikh carian

Ulasan adalah terkini sehingga Januari 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 67 kajian yang melibatkan sejumlah 1729 peserta dewasa dengan iskemia akut, pasca-akut atau kronik atau strok hemoragik. Umur purata dalam kumpulan eksperimen adalah antara 43 tahun hingga 70 tahun, dan dari 45 tahun hingga 75 tahun dalam kumpulan kawalan. Tahap gangguan peserta adalah dari teruk hingga sederhana. Majoriti kajian berlangsung di persekitaran pesakit dalam. Beberapa jenis stimulasi berbeza dengan jangka masa dan dos stimulasi yang berbeza diberi dan dibandingkan dengan tDCS palsu atau intervensi kawalan aktif. tDCS palsu bermaksud rangsangan dihentikan secara diam-diam pada minit pertama intervensi.

Keputusan utama

Ulasan ini mendapati tDCS mungkin mempertingkat ADL tetapi tidak memperbaik fungsi tangan dan kaki, kekuatan otot dan kemampuan kognitif. Perkadaran peristiwa buruk dan orang yang berhenti rawatan adalah hampir sama antara kumpulan. Kajian yang disertakan berbeza dari segi jenis, lokasi dan tempoh stimulasi, amaun arus yang diberi, ukuran dan posisi elektrod, serta jenis dan lokasi strok. Penyelidikan masa depan perlu dalam bidang ini untuk mengumpul bukti penemuan-penemuan ini, terutamanya yang berkait dengan fungsi tangan dan kaki, kekuatan otot dan kemampuan kognitif (termasuk pengabaian ruang).

Kualiti bukti

Kualiti bukti tDCS dalam memperbaik ADL adalah antara sangat rendah hingga tinggi. Bukti adalah rendah hingga sederhana untuk fungsi anggota atas, dan sederhana untuk peristiwa buruk dan orang yang berhenti rawatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information