Latar belakang
Ketidakfungsian vena kronik (CVI) adalah gangguan yang mana vena gagal mengepam darah kembali ke jantung dengan secukupnya. Akibatnya, ia boleh menyebabkan vena varikos, ulser kulit, dan trombosis vena superfisial atau vena dalam, dan gejala seperti sakit, keletihan, berat, kehangatan dan bengkak kaki. Kaedah pembetulan hemodinamik konservatif ambulatori bagi ketidakfungsian vena (CHIVA) adalah teknik pembedahan invasif minimum untuk merawat vena varikos. Rawatan CHIVA bertujuan untuk menghapuskan pintas vena-vena (sambungan tidak normal antara urat) dengan memutuskan titik pelepasan, memelihara vena safena (urat dari bahagian atas kaki ke kawasan paha atas) dan saliran vena normal pada tisu superfisial anggota.
Bagaimana kami mengenalpasti dan menilai bukti?
Pertama, kami mencari literatur perubatan untuk kajian terkawal secara rawak(RCT), kajian klinikal yang mana seseorang individu dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan. Kajian jenis ini memberikan bukti yang paling kukuh mengenai kesan rawatan. Kami bandingkan keputusan-keputusan, dan meringkaskan bukti dari semua kajian-kajian tersebut. Akhirnya, kami menilai kepastian bukti. Untuk melakukan ini, kami mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian-kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi semua kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami mengkategori bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati enam RCT yang merangkumi 1160 peserta yang mempunyai CVI. Tiga RCT membandingkan kaedah CHIVA dengan pelucutan vens, satu RCT membandingkan kaedah CHIVA dengan pembalut mampatan pada orang yang mempunyai ulser vena. Kajian yang baru dimasukkan termasuk tiga perbandingan, satu membandingkan CHIVA dengan pelucutan urat (yang mana vena dibuang atau diikat) dan ablasi frekuensi radio (RFA; yang memusnahkan fiber saraf yang membawa isyarat sakit ke otak), dan satu membandingkan CHIVA dengan pelucutan urat dan terapi laser endovena (yang mana urat dipanaskan oleh laser). Keputusan menunjukkan bahawa kaedah CHIVA mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada pengulangan vena varikos dan mungkin boleh mengurangkan sedikit kecederaan saraf dan lebam pada anggota bawah berbanding dengan pelucutan. Kaedah CHIVA menunjukkan bilangan jangkitan anggota badan dan trombosis vena superfisial (keradangan dan pembekuan dalam vena) yang sama seperti pelucutan urat. Berbanding dengan RFA, CHIVA mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan pada kadar jangkitan anggota badan, trombosis vena superfisial, kecederaan saraf atau hematoma (lebam teruk di dalam tisu lembut), tetapi boleh menyebabkan lebih banyak lebam. Berbanding dengan laser endovena, CHIVA mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan untuk pengulangan semula dan bilangan kesan sampingan.
Berapa kukuhkah bukti ini?
Kajian lanjut diperlukan untuk mengesahkan kesimpulan ini kerana ianya berdasarkan sebilangan kecil ujian klinikal dengan batasan metodologi seperti risiko beratsebelah yang tinggi. Di samping itu, peserta dan penilai hasil tidak buta terhadap kumpulan rawatan yang diberikan, dan keputusannya tidak tepat kerana bilangan kejadian yang rendah.
Sejauh manakah ulasan ini mutakhir?
Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga 19 Oktober 2020.
Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USMKK). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my