Tempurung lutut yang patah (patella patah) menyumbang 1% dari semua patah tulang. Terdapat banyak rawatan untuk patah tulang sedemikian dan ia boleh dirawat melalui pembedahan atau secara konservatif (sebarang rawatan di mana pembedahan tidak digunakan). Intervensi konservatif merangkumi imobilisasi mengguna cast, pendakap lutut dan imobilisasi dengan daya tarikan. Pembedahan boleh dilakukan secara terbuka, percutaneous (pembedahan invasif minimum yang menggunakan siatan kecil) atau arthroscopic (menggunakan dua siatan kecil dengan bantuan kamera dalaman). Implan yang digunakan untuk memperbaiki patah tulang boleh berupa implan logam atau bukan logam, dan boleh berupa wayar, skru, plate, benang, tali, kancing jahitan, fixator luaran, rod, paku dan gabungannya.
Tujuan ulasan
Ulasan ini bertujuan untuk menilai kesan kaedah yang berbeza untuk merawat patah tempurung lutut pada orang dewasa, dengan atau tanpa pembedahan. Hasil utama yang kami minati adalah fungsi lutut nilaian pesakit, sakit lutut dan komplikasi (kejadian buruk).
Keputusan carian dan kualiti bukti
Kami mencari penulisan saintifik hingga Januari 2020 dan menemui 11 kajian yang relevan dengan 564 peserta. Umur peserta dalam kajian ini adalah antara 16 dan 76 tahun. Terdapat 340 lelaki dan 212 wanita; jantina 12 peserta tidak dilaporkan. Tujuh kajian dilakukan di Cina dan satu di Finland, Mexico, Pakistan dan Turki. Kesemua 11 kajian membandingkan pelbagai jenis pembedahan atau alat pembedahan. Oleh itu, kami tidak menemui kajian yang membandingkan pelbagai jenis rawatan konservatif atau pembedahan dengan rawatan konservatif.
11 kajian itu membuat tujuh perbandingan. Kami menilai bukti yang ada untuk setiap perbandingan sebagai berkualiti sangat rendah. Ini kerana semua kajian mempunyai kelemahan reka bentuk yang berisiko tinggi terhadap bias dan kajiannya juga kecil dengan beberapa kejadian.
Apa penemuan kajian yang dimasukkan
Tidak ada kajian yang melaporkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, kembali ke aktiviti sebelumnya atau penampilan kosmetik.
Kami melaporkan di sini penemuan untuk tiga perbandingan paling penting.
Empat kajian membandingkan kaedah percutaneous fixation (pembedahan menggunakan siatan kecil untuk memasukkan alat penetapan) dengan pembedahan terbuka (melibatkan siatan lebar). Satu kajian mendapati tidak ada perbezaan penting antara kedua-dua kaedah bagi fungsi lutut nilaian pesakit pada 12 bulan. Data yang dikumpulkan menunjukkan sedikit perbezaan antara kumpulan yang mengalami sakit lutut pada sekitar dua hingga tiga bulan. Terdapat sedikit kejadian buruk dalam kumpulan percutaneous dan skor fungsi lutut nilaian pemerhati yang lebih baik pada 12 bulan.
Dua kajian membandingkan sistem pin kabel (pembedahan terbuka atau percutaneous) dengan teknik tension band. Ini mendapati fungsi lutut nilaian pesakit sedikit lebih baik pada satu tahun, kurang kejadian buruk dan ukuran fungsi lutut nilaian pemerhati yang lebih baik pada kumpulan pin kabel. Terdapat sedikit perbezaan penting antara kedua-dua kumpulan bagi sakit lutut pada tiga bulan.
Dua kajian yang membandingkan biodegradable (bukan logam) berbanding implan logam mendapati sedikit perbezaan dalam hasil yang dilaporkan (sakit lutut, kejadian buruk dan pergerakan lutut) antara kedua-dua kumpulan. Tidak ada kajian yang melaporkan fungsi nilaian pesakit.
Terdapat bukti berkualiti sangat rendah dan tidak lengkap dari kajian tunggal untuk empat perbandingan lain.
Bukti yang sangat rendah dan tidak lengkap dari kajian tunggal yang menguji empat perbandingan kaedah pembedahan yang berbeza menunjukkan bahawa kami tidak pasti akan hasilnya.
Kesimpulan
Kualiti bukti yang sangat rendah untuk tiga perbandingan utama dan empat perbandingan lain tentang kaedah pembedahan yang berbeza menunjukkan bahawa kami tidak pasti akan penemuannya. Oleh itu, bukti yang ada adalah tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan yang tegas mengenai kaedah rawatan terbaik untuk patah tempurung lutut. Penyelidikan lebih lanjut adalah diperlukan dan patut didahului oleh penyelidikan untuk menentukan persoalan mana yang harus diutamakan.
Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.