Guidewire kontras: yang manakah lebih berkesan untuk pencegahan pankreatitis cholangiopancreatography selepas endoskopik?

Mesej utama:

• Endoskopik retrograde cholangiopancreatography (ERCP) menggabungkan endoskopi dan x-ray untuk diagnosis dan merawat masalah hempedu dan saluran pankreas. Berbanding teknik tradisional yang melibatkan suntikan pewarna kontras ke dalam saluran dengan kateter, menggunakan teknik guidewire untuk mendapat akses ke saluran hempedu mungkin mengurangkan risiko pankreatitis (PEP) selepas ERCP dan juga boleh meningkatkan kadar kejayaan mendapat akses ke saluran hempedu.

• Penyelidikan masa hadapan dalam bidang ini harus menumpukan kepada kesan teknik guidewire sebagai tambahan kepada pilihan lain untuk mengurangkan risiko PEP (contohnya, ubat-ubatan anti-radang yang diberikan secara rektal, tiub plastik yang dimasukkan ke dalam saluran pankreas).

Apakah pankreatitis selepas ERCP (PEP)?

ERCP menggabungkan endoskopi (pemeriksaan di dalam badan menggunakan alat perubatan yang dipanggil endoskop) dan x-ray untuk diagnosis dan merawat masalah hempedu dan saluran pankreas (struktur yang menyokong proses penghadaman). Semasa pesakit dalam keadaan sedasi, endoskop dimasukkan ke esofagus (saluran udara) dan ke dalam usus kecil, di mana pembukaan hempedu dan saluran pankreas (papilla) terletak. Kateter dimasukkan melalui endoskop dan papila ke dalam saluran hempedu. Pewarna kontras disuntik ke dalam saluran hempedu, dan x-ray diambil untuk mencari batu karang atau hadangan. Walau bagaimanapun, risiko utama ERCP ialah terjadinya pankreatitis (keradangan pankreas) akibat kerengsaan saluran pankreas oleh bahan kontras atau kateter, yang boleh berlaku dalam 5% hingga 10% daripada semua prosedur. Ini mungkin terhad dengan sendirinya dan ringan, tetapi juga boleh menjadi serius dan memerlukan kemasukan ke hospital. Jarang sekali, ia mungkin mengancam nyawa. Terdapat juga risiko kecil pendarahan atau membuat lubang di dinding usus.

Apakah yang kami ingin tahu?

Terdapat dua teknik untuk mendapatkan akses ke saluran hempedu semasa ERCP. Teknik tradisional (kontras) melibatkan memasukkan kateter ke dalam papila dan menyuntik pewarna kontras untuk mengesahkan akses ke saluran hempedu. Walau bagaimanapun, pewarna kontras mungkin disuntik secara tidak sengaja ke dalam saluran pankreas. Teknik kedua (guidewire) melibatkan penggunaan guidewire untuk menyiasat papila bagi mendapatkan akses ke saluran hempedu. Sebaik sahaja x-ray mengesahkan wayar panduan berada dalam saluran hempedu, pewarna kontras disuntik ke dalam saluran hempedu.

Kami ingin tahu:

• teknik manakah yang paling berkesan untuk mendapatkan akses ke saluran hempedu semasa ERCP untuk mengurangkan risiko PEP;

• teknik manakah yang lebih berjaya untuk mendapatkan akses ke saluran hempedu; dan

• teknik manakah yang memberikan kurang kesan yang tidak diingini (contohnya, keperluan untuk menggunakan teknik lanjutan yang melibatkan belahan buta ke dalam papila untuk mendapatkan akses ke saluran hempedu, kemasukan tidak disengajakan ke saluran pankreas, pendarahan, lubang di dinding usus, dan kematian).

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan guidewire dengan teknik kontras pada orang yang menjalani ERCP untuk penyakit hempedu atau pankreas. Kami membandingkan dan merumuskan dapatan mereka, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati 15 kajian melibatkan 4426 orang yang menjalani ERCP. Kajian-kajian tersebut dijalankan di pelbagai negara di seluruh dunia. Kajian terbesar melibatkan 513 orang, dan kajian terkecil melibatkan 88 orang, dengan umur antara 18 hingga 96 tahun dan bilangan lelaki dan wanita yang hampir sama. Sembilan kajian mengisytiharkan tiada sumber pembiayaan dan konflik kepentingan, manakala enam kajian lagi tidak melaporkan maklumat ini.

Apakah keputusan utama ulasan tersebut?

Berbanding dengan teknik kontras, menggunakan teknik guidewire mungkin mengurangkan risiko PEP dan boleh meningkatkan kadar kejayaan untuk mendapat akses ke saluran hempedu, dan mungkin mengurangkan keperluan untuk menggunakan teknik lanjutan bagi mendapatkan akses ke saluran hempedu. Teknik guidewire mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko pendarahan dan lubang pada dinding usus. Tiada kes kematian berkaitan prosedur.

Apakah had bagi bukti tersebut?

Kami cukup yakin bahawa teknik guidewire mengurangkan risiko PEP dan mengurangkan keperluan untuk menggunakan teknik lanjutan bagi mendapatkan akses ke saluran hempedu, tetapi ada kemungkinan bahawa doktor yang melakukan ERCP dan menilai hasilnya mungkin berat sebelah, memandangkan mereka tahu akan teknik yang mereka gunakan semasa prosedur tersebut. Kami kurang yakin dengan keputusan untuk kadar kejayaan bagi mendapatkan akses ke saluran hempedu, dan dapatan penyelidikan lanjut mungkin berbeza daripada kami. Kami juga kurang yakin dengan dapatan kami bagi risiko pendarahan dan lubang di dinding usus kerana kurang peristiwa yang dilaporkan. Kami cukup yakin dengan keputusan kami untuk kematian kerana tiada kejadian yang dilaporkan dalam kebanyakan orang.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan terdahulu kami yang diterbitkan pada 2012. Bukti adalah terkini sehingga Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information