Sumatriptan (pemberian laluan intranasal) untuk serangan migrain akut dalam kalangan orang dewasa

Sumatriptan adalah salah satu ubat dari keluarga triptan yang digunakan untuk merawat serangan migrain. Ia boleh didapati sebagai semburan hidung, dan pemberian laluan ini mungkin lebih baik bagi individu yang mengalami loya dan atau muntah, walaupun penyerapan ubat berlaku terutamanya di dalam usus dan bukan mukosa hidung. Ulasan ini mendapati dos tunggal intranasal berkesan melegakan sakit kepala migrain dan simptom-simptom yang berkaitan loya, sensitiviti kepada cahaya, dan sensitiviti kepada bunyi. Sakit dikurangkan daripada sederhana atau teruk kepada tidak kesakitan setelah dua jam dalam kira-kira 2 dalam 10 orang (24%) yang mengambil sumatriptan 10mg, berbanding dengan 1 dalam 10 (10%) yang mengambil plasebo. Sakit dikurangkan daripada sederhana atau teruk kepada tidak lebih buruk daripada sakit ringan setelah dua jam bagi 5 dalam 10 orang (50%) yang mengambil sumatriptan 10 mg, berbanding dengan kira-kira 3 dalam 10 (32%) yang mengambil plasebo. Selain melegakan sakit kepala, sumatriptan juga melegakan simptom loya dan sensitiviti kepada cahaya dan bunyi setelah dua jam dalam separuh daripada mereka yang mengambilnya, berbanding kira-kira satu pertiga daripada mereka yang mengambil plasebo. Dos 20 mg lebih berkesan, tetapi mungkin dikaitkan dengan lebih banyak peristiwa buruk, yang kebanyakannya adalah bertempoh singkat dan ringan atau sederhana keterukannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information