Sumatriptan (pemberian laluan subkutaneus) untuk serangan migrain akut dalam kalangan orang dewasa

Sumatriptan adalah salah satu ubat dari keluarga triptan yang digunakan untuk merawat serangan migrain. Ia boleh didapati sebagai suntikan subkutaneus, dan pemberian laluan ini mungkin lebih baik untuk individu yang mengalami loya dan/atau muntah, atau memerlukan bantuan segera. Ulasan ini mendapati dos tunggal subkutaneus berkesan dalam melegakan sakit kepala migrain dan simptom berkaitan loya, sensitiviti kepada cahaya, dan sensitiviti kepada bunyi. Sakit dikurangkan daripada sederhana atau teruk kepada tidak sakit setelah dua jam bagi hampir 6 dalam 10 orang (59%) yang mengambil sumatriptan 6 mg, berbanding 1 dalam 7 (15%) yang mengambil plasebo, dan dikurangkan dari sederhana atau teruk kepada tidak lebih buruk daripada sakit ringan setelah dua jam bagi hampir 8 dalam 10 orang (79%) yang mengambil sumatriptan berbanding 3 dalam 10 (31%) yang mengambil plasebo. Sumatriptan subkutaneus bertindak segera, dan majoriti orang mengalami kelegaan sakit setelah satu jam. Kira-kira 3 dalam 10 (31%) orang telah bebas dari sakit pada dua jam yang dikekalkan selama 24 jam selepas dos tanpa menggunakan ubat penyelamat, berbanding 1 dalam 7 (15%) dengan plasebo. Selain melegakan sakit kepala, sumatriptan juga melegakan simptom loya dan sensitiviti kepada cahaya dan bunyi setelah dua jam dalam separuh daripada mereka yang mengambilnya, berbanding kira-kira satu pertiga daripada mereka yang mengambil plasebo. Peristiwa buruk, kebanyakannya bertempoh yang singkat dan ringan atau sederhana keterukannya, lebih kerap dengan sumatriptan berbanding plasebo.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information