Soalan ulasan
Kami mengulas bukti yang ada mengenai rawatan dengan agen yang berbeza, yang bertindak sama ada meningkatkan kemampuan jantung untuk memerah (ubat inotropik) atau dengan mengembang saluran darah (ubat vasodilating), mengenai kesannya terhadap kematian pada pesakit dengan renjatan kardiogenik (CS; renjatan kerana penurunan keupayaan jantung untuk mengepam yang kritikal) atau gejala keluaran jantung rendah (LCOS; penurunan prestasi jantung).
Latar belakang
CS dan LCOS mewakili entiti yang mengancam nyawa. Terapi ubat CS dan LCOS adalah berdasarkan bahan yang merangsang pemerahan jantung. Agen kuat sering digunakan untuk menyelamat dalam rawatan jantung akut. Walau bagaimanapun, bukti untuk rawatan pesakit yang menderita dari peredaran darah tidak stabil adalah terhad terutamanya berkaitan dengan kematian.
Ciri-ciri kajian
Kami merangkumkan 19 kajian dengan 2385 peserta dengan CS atau LCOS yang merumitkan infarksi miokardium, kegagalan jantung atau pembedahan jantung. Tempoh susulan kajian adalah pelbagai antara jangka masa pemulihan dan jangka masa sehingga 12 bulan. Lapan kajian dibiayai oleh pengeluar ubat yang dikaji. Dalam satu kajian, hubungan dengan industri farmasi adalah tidak ditentukan.
Keputusan utama
Kami membandingkan strategi yang berbeza menggunakan ubat inotropik atau pengembangan saluran darah (iaitu levosimendan, enoximone, piroximone, epinefrin, norepinefrin, dopexamine, milrinone, dopamine dan dobutamine). Bukti berkualiti rendah menggambarkan ketidakpastian mengenai kematian jangka pendek dan jangka panjang dalam perbandingan levosimendan dengan dobutamine. Bukti berkualiti rendah menggambarkan ketidakpastian mengenai kematian jangka panjang dalam perbandingan levosimendan dengan plasebo; tidak ada data yang tersedia untuk tempoh susulan jangka pendek. Bukti berkualiti sangat rendah menggambarkan ketidakpastian mengenai kematian jangka pendek dalam perbandingan levosimendan dengan enoximone, epinefrin dengan norepinefrin-dobutamine, dopexamine dengan dopamin, enoximone dengan dobutamine, dan dopamine-milrinone dengan dopamine-dobutamine; tiada data yang tersedia untuk tempoh susulan jangka panjang. Bukti berkualiti sangat rendah menggambarkan ketidakpastian untuk kematian semua sebab dalam jangka pendek dan jangka panjang apabila membandingkan epinefrin dengan norepinefrin. Tidak ada data mengenai kematian semua sebab yang tersedia dalam perbandingan milrinone dengan dobutamine, enoximone dengan piroximone dan enoximone dengan epinefrin-nitrogliserin.
Kualiti bukti
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2019. Kami mempunyai sangat sedikit keyakinan terhadap hasil kajian yang kami analisis (bukti berkualiti rendah atau sangat rendah) kerana batasan kajian yang berkaitan (risiko berat sebelah), ketidaktepatan atau tidak langsung.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my