Adakah terapi hormon meningkatkan fungsi seksual di kalangan wanita yang melalui atau selepas menopaus?

Mesej utama

• Estrogen (hormon yang dikaitkan dengan perkembangan seksual dan pembiakan pada wanita) sahaja mungkin meningkatkan skor fungsi seksual berbanding plasebo.

• Kami tidak pasti tentang kesan estrogen berserta progestogen (hormon wanita yang lain), steroid sintetik (seperti tibolone), modulator reseptor estrogen terpilih (yang mempengaruhi cara estrogen berfungsi) atau modulator reseptor estrogen terpilih berserta estrogen terhadap fungsi seksual berbanding plasebo atau tanpa rawatan.

• Rawatan dan dos hormon yang berbeza-beza, serta soal selidik berlainan yang digunakan sebagai penilaian, mungkin menyebabkan kepelbagaian dalam keputusan.

Apakah itu menopaus dan apakah kesannya terhadap wanita?

Menopaus adalah apabila haid wanita terhenti, biasanya sekitar usia 45 hingga 55 tahun. Semasa menopaus, ovari secara beransur-ansur berhenti menghasilkan estrogen, hormon yang mengawal haid. Pengurangan estrogen boleh menyebabkan gejala yang tidak diingini sebelum haid berhenti (perimenopaus), semasa menopaus dan selepas menopaus (pasca menopaus). Gejala termasuk perubahan perasaan, merasa panas (“hot flushes”) dan berpeluh malam. Aduan seksual seperti persetubuhan yang menyakitkan, kurang nafsu terhadap seks, dan masalah berkaitan dengan rangsangan atau orgasma adalah biasa selepas menopaus dan boleh mempengaruhi tanggapan diri, keyakinan diri dan kesihatan seksual wanita.

Apakah itu terapi hormon, dan bagaimanakah ia boleh membantu fungsi seksual wanita?

Terapi hormon terdiri daripada pelbagai hormon atau kombinasi hormon yang boleh membantu mengurangkan gejala menopaus. Ia boleh diberikan sebagai tampalan kulit, semburan atau gel, tablet, atau implan, dan digunakan untuk merawat pelbagai gejala perimenopaus dan selepas menopaus. Terapi hormon mungkin mengurangkan gejala yang menjejaskan fungsi seksual seperti kekeringan, gatal, dan kesakitan semasa persetubuhan dengan meningkatkan pelinciran, aliran darah dan sensasi dalam tisu faraj.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada terapi hormon meningkatkan fungsi seksual wanita dan sama ada kesannya berbeza pada peringkat menopaus yang berbeza. Kami juga berminat dengan jenis terapi hormon yang paling berkesan: estrogen sahaja, estrogen digabungkan dengan hormon lain, atau steroid sintetik (direka-reka) atau hormon sintetik .

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat pelbagai jenis terapi hormon berbanding dengan plasebo (ubatan palsu) atau tanpa rawatan dan kesannya terhadap fungsi seksual di kalangan wanita perimenopaus atau pasca menopaus. Kami mencari kajian yang menggunakan estrogen sahaja; estrogen berserta progestogen; steroid sintetik (seperti tibolone); modulator reseptor estrogen terpilih (SERM, yang mempengaruhi cara estrogen berfungsi dengan menyekat atau mengaktifkan bahagian badan yang berlainan, seperti raloxifene atau bazedoxifene); serta modulator reseptor estrogen terpilih berserta estrogen.

Kami paling berminat dengan kesan terapi hormon terhadap skor fungsi seksual global, yang mengukur kesan terapi hormon terhadap kesemua bahagian fungsi seksual yang digabungkan: nafsu, rangsangan, pelinciran, orgasma, kepuasan dan kesakitan. Kami juga ingin mengetahui kesan terapi hormon terhadap setiap bahagian yang membentuk skor fungsi seksual global. Skor perlu dinilai menggunakan soal selidik yang diiktiraf dan disahkan.

Kami membahagikan wanita mengikut tempoh masa sejak haid terakhir mereka:

• dalam tempoh 5 tahun dari haid terakhir mereka dengan atau tanpa gejala menopaus; dan

• lebih daripada 5 tahun sejak haid terakhir mereka, tanpa mengira gejala menopaus.

Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menjumpai 36 kajian yang melibatkan 23,299 wanita. Kesemua kajian kecuali satu melibatkan wanita selepas menopaus; yang lain-lain melibatkan wanita semasa menopaus. Segelintir tetapi bukan kesemua wanita mengalami gejala yang menyusahkan seperti merasa panas (“hot flushes”), berpeluh malam dan kekeringan faraj.

• Untuk wanita dalam tempoh 5 tahun dari haid terakhir mereka, rawatan dengan estrogen sahaja mungkin meningkatkan sedikit fungsi seksual berdasarkan skor komposit fungsi seksual berbanding plasebo.

• Untuk wanita yang haid terakhir mereka telah melebihi 5 tahun, estrogen sahaja mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap fungsi seksual berdasarkan skor fungsi seksual berbanding plasebo.

• Untuk wanita daripada kedua-dua kumpulan, kami tidak pasti tentang kesan estrogen berserta progestogen, steroid sintetik, modulator reseptor estrogen terpilih sahaja, atau modulator reseptor estrogen terpilih berserta estrogen terhadap fungsi seksual berbanding plasebo atau tanpa rawatan.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah sederhana hingga sangat rendah disebabkan oleh kepelbagaian keputusan. Ini mungkin kerana kajian-kajian tersebut menggunakan ubatan dan dos yang berbeza-beza, dan soal selidik yang berlainan sebagai penilaian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information