Penggunaan zonisamide untuk rawatan tremor esensial

Soalan ulasan

Penulis ulasan ini cuba menilai keberkesanan dan keselamatan zonisamide dalam kalangan orang (16 tahun atau lebih) dengan tremor esensial.

Latar belakang

Tremor esensial adalah gangguan pergerakan yang lazim. Walaupun benigna, dari segi kesannya ke atas jangka hayat, ia biasanya progresif dan berpotensi hilang upaya. Rawatan ini berdasarkan kepada agen farmakologi (propranolol dan primidone sebagai terapi utama) tetapi ini tidak berkesan dalam 25% hingga 55% peserta. Zonisamide telah dicadangkan sebagai ejen berpotensi yang berguna untuk rawatan tremor esensial.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati satu kajian yang membandingkan zonisamide dengan plasebo, melibatkan sejumlah 20 peserta secara rawak dengan tremor esensial.

Keputusan utama

Kesan zonisamide terhadap kebolehan fungsi, risiko penamatan rawatan, dan peristiwa buruk adalah tidak pasti kerana kualiti bukti adalah sangat rendah. Peristiwa buruk hanya dilaporkan dalam kalangan peserta dari kumpulan zonisamide, sehingga memungkinkan mereka mengetahui rawatan yang mereka terima. Kualiti hidup adalah tidak dinilai dalam kajian yang dimasukkan.

Kualiti bukti

Kajian tunggal yang kami dapati adalah kecil dan kemungkinan peserta kajian menyedari kumpulan rawatan bermakna kami tidak dapat memastikan profil risiko-manfaat rawatan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information