Penggunaan multipel agen antiplatelet berbanding kurang ubat antiplatelet untuk mencegah perulangan awal selepas strok iskemia atau serangan iskemia transien

Soalan ulasan

Adakah ubat antiplatelet multipel lebih baik daripada kurang ubat antiplatelet untuk mencegah perulangan awal selepas strok?

Latar belakang

Strok adalah penyakit tidak berjangkit kedua paling lazim di dunia, dan berisiko perulangan tinggi. Kebanyakan perulangan berlaku awal selepas strok, dan rawatan yang berkesan diperlukan untuk mencegah perulangan. Garis panduan semasa mengesyorkan penggunaan ubat antiplatelet seperti aspirin selepas strok atau serangan iskemia transien (strok mini). Walau bagaimanapun, keselamatan dan manfaat menggunakan lebih daripada satu ubat antiplatelet awal selepas strok belum dipastikan dengan jelas.

Ciri-ciri kajian

Kami membandingkan penggunaan multipel berbanding kurang ubat antiplatelet awal selepas strok. Bukti adalah terkini sehingga 6 Julai 2020. Kami menyertakan 15 kajian klinikal dengan sejumlah 17,091 peserta dari pelbagai populasi Asia, Eropah dan Amerika Utara. Kombinasi antiplatelet yang paling lazim diuji adalah aspirin dan dipyridamole, dan aspirin dan clopidogrel.

Keputusan utama

Kami mendapati ubat antiplatelet multipel mengurangkan risiko perulangan strok tetapi meningkatkan risiko perdarahan berbanding kurang ubat antiplatelet. Dua ubat antiplatelet dilihat lebih berkesan dalam mencegah perulangan strok awal berbanding ubat antiplatelet tunggal, tetapi terdapat peningkatan risiko kesan sampingan, terutama perdarahan. Manfaat dua ubat antiplatelet bermula sejurus selepas strok didapati melebihi risiko untuk bulan pertama.

Kepastian bukti

Kepastian bukti secara amnya sederhana atau tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney).). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information