Kesan rangsangan oral untuk penyusuan oral pada bayi pramatang

Soalan ulasan

Adakah intervensi rangsangan oral yang melibatkan protokol rangsangan jari pada bayi pramatang yang lahir sebelum kehamilan 37 minggu:

Kurangkan masa (hari) yang diambil untuk mencapai penyusuan oral eksklusif?

Kurangkan masa (hari) yang dihabiskan di Rawatan Rapi Neonatal (NICU)?

Kurangkan tempoh masa (hari) yang dihabiskan di hospital?

Kurangkan tempoh masa (hari) yang bayi habiskan untuk penyusuan tiub (pemakanan parenteral)?

Latar belakang

Ini adalah pengemaskinian daripada ulasan 2016. Ramai bayi pramatang mengalami kelewatan pembentukan penyusuan oral (menghisap) dan diberi makan pada mulanya dengan tiub penyusuan atau dengan pemakanan intravena (parenteral). Perkembangan kemahiran penyusuan oral memerlukan penyelarasan yang teliti dalam menghisap, menelan dan bernafas. Pada bayi pramatang, perkembangan penyusuan oral boleh jadi mencabar kerana kemasukan ke hospital yang lama, kesukaran bernafas dan keadaan perubatan lain yang berkaitan dengan kelahiran pramatang. Prosedur yang tidak menyenangkan dan invasif seperti pengudaraan atau penyedutan rembesan yang kerap dari mulut atau hidung boleh menjejaskan kemahiran penyusuan secara negatif. Garis panduan antarabangsa untuk peralihan daripada penyusuan tiub kepada penyusuan oral adalah sangat berbeza. Penyedia penjagaan kesihatan menggunakan pelbagai intervensi untuk meningkatkan kemahiran menghisap dan memberi makan pada bayi pramatang, dan kajian melaporkan masa peralihan yang lebih cepat daripada suapan tiub kepada suapan oral, pengurangan tempoh tinggal di hospital dan peningkatan kemahiran bayi menghisap. Ulasan pertama pada 2016 menunjukkan bahawa walaupun intervensi rangsangan oral kelihatan mengurangkan tempoh tinggal di hospital, mengurangkan keperluan untuk penyusuan tiub dan mempercepatkan masa untuk penyusuan oral, metodologi kajian adalah berkualiti lemah menyebabkan beberapa ketidakpastian tentang kesan keseluruhan. Kemas kini ini menilai sama ada penyelidikan semasa menyokong penemuan ini dan jika kualiti kajian telah bertambah baik, yang membawa kepada peningkatan kepastian keputusan.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini memasukkan kajian rawak terkawal (RCT) yang meneroka rangsangan oral dengan rangsangan jari hanya pada bayi pramatang. Penulis ulasan mengenal pasti kajian yang akan dimasukkan dengan mencari pangkalan data elektronik, daftar ujian klinikal, jurnal yang disemak rakan sebaya dan prosiding persidangan yang diterbitkan. Carian adalah terkini sehingga Mac 2022.

Keputusan utama

Untuk kemas kini ini, kami menambah 12 kajian baharu pelbagai kualiti dengan bilangan peserta yang sedikit, menjadikan sejumlah 28 kajian dimasukkan. Memandangkan kepastian bukti dianggap 'rendah' ​​kepada 'sangat rendah', masih tidak pasti sama ada intervensi rangsangan oral boleh memendekkan peralihan kepada penyusuan oral, mengurangkan tempoh tinggal di hospital dan mengurangkan masa yang dihabiskan untuk pemakanan parenteral, walaupun mungkin terdapat beberapa faedah yang berpotensi. Tiada kajian melaporkan tempoh tinggal di NICU. Tiada kajian melihat hasil jangka panjang intervensi (iaitu melebihi enam bulan).

Kepastian bukti

Bilangan bayi dalam kajian ini adalah sedikit, kaedah yang digunakan oleh penyelidik berbeza dari segi kualiti dan kepastian bukti dianggarkan 'rendah' ​​kepada 'sangat rendah'.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Hanisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information