Arus elektrik langsung ke otak untuk memperbaiki masalah bahasa selepas strok

Soalan ulasan

Untuk menilai kesan tDCS dalam memperbaiki masalah bahasa dalam kalangan orang yang pernah mendapat strok.

Latar belakang

Strok adalah salah satu punca penyebab ketakupayaan di seluruh dunia. Kebanyakan strok terjadi apabila klot darah menyekat saluran darah ke otak. Tanpa bekalan darah yang cukup, otak akan mengalami kerosakan kekal dengan cepat, dan kerosakan ini sering menyebabkan kesukaran bahasa (afasia) dalam kalangan pemandiri strok. Orang dengan afasia selepas strok bermasalah komunikasi, iaitu memahami atau menghasilkan bahasa, atau kedua-duanya. Strategi masa kini terapi pertuturan dan bahasa (SLT) mempunyai keberkesanan yang terhad dalam memperbaiki kesukaran bahasa. Satu kemungkinan untuk meningkatkan kesan SLT ialah penambahan rangsangan otak tak invasif oleh teknik yang dikenali sebagai rangsangan arus langsung transkranial (tDCS). Teknik ini memanipulasi fungsi otak dan boleh diguna untuk memperbaiki kesukaran bahasa. Walau bagaimanapun, keberkesanan intervensi ini untuk memperbaiki hasil SLT masih belum diketahui.

Tarikh carian

Carian ulasan ini adalah terkini sehingga 12 Jun 2018.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini memasukkan 21 kajian klinikal yang membandingkan tDCS dengan tDCS palsu melibatkan 421 peserta dengan afasia akibat strok kali pertama.

Keputusan utama

Kami tidak mendapati bukti tDCS dapat membantu memperbaiki pemulihan bahasa dari segi komunikasi harian atau kemampuan befikir. Walau bagaimanapun, terdapat bukti terhad tDCS boleh memperbaiki keupayaan seseorang untuk menyatakan kata nama. Kami tidak dapat mengenal pasti sebarang kesan mudarat yang serius, bilangan kejadian buruk, dan bilangan peserta yang menarik diri dari kajian tidak meningkat. Kajian lanjut diperlukan dalam bidang ini untuk menentukan sama ada rawatan ini berfungsi dalam amalan rutin. Penulis penyelidikan masa depan perlu patuhi standard kualiti penyelidikan terkini.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah dari sangat rendah hingga sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information