Soalan ulasan
Kami mengkaji bukti-bukti untuk mencari sama ada penenang mengikuti protokol dapat mengurangkan tempoh ventilasi mekanikal (kaedah untuk membantu pernafasan secara mekanikal). Kami juga ingin mengetahui sama ada ia mengurangkan kadar kematian orang dewasa dan kanak-kanak kesakitan kritikal dalam unit rawatan rapi (ICU) serta hospital.
Latar belakang
Penentukan keperluan ubat penenang bagi orang yang sakit kritikal adalah bahagian penting dalam rawatan kritikal untuk membantu pemulihan dan menjamin rawatan yang berperikemanusiaan. Penenang mengikuti protokol adalah salah satu strategi pengurusan yang dapat digunakan sebagai cara untuk mengurangkan sedasi berkurangan atau berlebihan. Penenang mengikuti protokol ialah ubat penenang yang diberikan oleh jururawat, pegawai farmasi atau anggota pasukan kesihatan yang lain. Anggota pasukan tersebut akan mengikuti prosedur bertulis dan diluluskan yang ternyata dalam protokol (dokumen). Perintah awal untuk penenang mengikuti protokol adalah ditulis oleh pegawai perubatan atau doktor. Tujuan penenang mengikuti protokol adalah untuk meningkatkan hasil pesakit, seperti, untuk mengurangkan jangka masa seseorang menggunakan ventilasi mekanikal ataupun untuk mengurangkan kadar kematian.
Tarikh carian
Dalam kemas kini ini, kami menyertakan bukti terkini sehingga Disember 2017. Ini telah mengemas kini versi tinjauan sebelumnya yang terkini sehingga November 2013.
Ciri-ciri kajian
Kami telah mencari pangkalan data saintifik untuk kajian-kajian yang meneliti penenangan mengikuti protokol pada pesakit rawatan intensif dewasa dan pediatrik. Kami mengenal pasti empat kajian dengan 3308 peserta (864 orang dewasa dan 2459 pediatrik) untuk disertakan dalam tinjauan ini.
Hasil utama
Semua kajian ini termasuk kajian yang membandingkan penggunaan penenang mengikuti protokol yang diberikan oleh jururawat dengan rawatan biasa (iaitu penenang yang tidak mengikuti protokol). Tidak ada perbezaan dalam jangka masa memerlukan ventilasi mekanikal atau di ICU atau kematian di hospital antara orang yang menerima ubat penenang mengikuti protokol dengan orang yang dirawat dengan perawatan biasa. Terdapat penurunan yang signifikan dalam jumlah hari di hospital untuk orang yang dirawat dengan penenang mengikuti protokol, apabila berbanding dengan orang yang mendapat perawatan biasa. Tidak ada perbezaan antara kedua-dua kumpulan dalam jumlah orang yang mencabut tiub pernafasan secara tidak sengaja atau memerlukan tiubnya dimasukkan semula selepas dicabut secara tidak sengaja.
Kesimpulannya, faedah penenang mengikuti protokol yang diberikan oleh jururawat berbanding dengan perawatan biasa adalah tidak jelas berkaitan dengan hasil penting seperti jangka masa ventilasi mekanikal diperlukan atau jumlah kematian.
Kualiti bukti
Bukti-bukti yang terdapat untuk menjawab soalan tinjauan kami adalah rendah hingga sederhana. Ini adalah disebabkan oleh hasil yang sering bertentangan yang dilaporkan dari empat kajian yang berlayak. Kajian lanjutan adalah diperlukan untuk menentu keberkesanan intervensi ini.
Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.