Ubat untuk merawat orang mengantuk semasa kerja syif dan masalah tidur selepas kerja syif

Individu yang bekerja syif sering melaporkan rasa mengantuk di tempat kerja dan mengalami masalah tidur antara syif kerja. Hal ini dikenali sebagai gangguan tidur kerja syif apabila kesukaran untuk tidur selepas syif malam dan mengantuk semasa syif malam yang berlaku secara berterusan. Kami menilai kesan ubat, seperti melatonin, untuk meningkatkan kualiti tidur pekerja syif selepas kerja syif malam. Kami juga mengkaji kesan ubat, seperti kafein, untuk membantu pekerja shift berjaga. Kami juga ingin menilai keberkesanan kos tetapi tiada kajian berkaitan yang dijumpai.

Kajian-kajian yang ditemui

Kami melakukan carian penulisan sehingga 20 September 2013. Kami memasukkan 15 kajian dengan 718 peserta. Kajian menilai kesan melatonin dan hipnotik pada tidur selepas syif dan kesan modafinil, armodafinil dan kafein serta tidur siang pada mengantuk semasa syif.

Kesan pada tempoh dan kualiti tidur

Individu yang mengambil melatonin mungkin tidur 24 minit lebih lama pada waktu siang selepas syif malam namun mungkin tiada kesan pada hasil tidur yang lain, seperti masa yang diperlukan untuk tidur (bukti berkualiti rendah). Kesan sampingan penggunaan melatonin jarang berlaku.

Untuk hipnotik (zopiclone), terdapat bukti yang tidak mencukupi untuk mengetahui sama ada ia menjejaskan tempoh tidur atau tidak (bukti berkualiti sangat rendah). Kami tidak menemui laporan tentang kesan sampingannya dalam kalangan pekerja syif.

Kesan terhadap kepekaan atau mengantuk semasa syif

Individu yang mengambil modafinil dan armodafinil mungkin mengalami sedikit pengurangan dalam mengantuk dan peningkatan terhadap kepekaan semasa syif malam, berdasarkan bukti susulan kajian selama tiga bulan dalam kalangan individu yang mengalami gangguan tidur kerja syif (bukti berkualiti sederhana). Sakit kepala dan loya adalah kesan sampingan yang paling biasa dalam susulan jangka pendek dan panjang. Walau bagaimanapun, gangguan kulit yang serius telah dilaporkan sejak ubat-ubatan ini muncul di pasaran. Kami mendapati tiada kajian dalam pekerja syif tanpa diagnosis gangguan tidur kerja syif.

Kami mendapati satu kajian yang menunjukkan bahawa orang yang mengambil kafein sebelum syif malam digabungkan dengan tidur siang sebelum syif telah meningkatkan kepekaan semasa syif malam.

Apa yang masih perlu kita ketahui?

Bukti yang dijumpai berkualiti rendah dan kebanyakannya daripada kajian yang kecil. Kedua-dua ejen yang menggalakkan tidur dan kepekaan mempunyai kesan buruk yang berpotensi serius. Oleh itu, kami memerlukan lebih banyak kajian untuk menentukan kesan yang bermanfaat dan memudaratkan ubat-ubatan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information